KTMB perkenal Pakej Keluarga Malaysia, tawar diskaun 25% tambang perjalanan | DagangNews Skip to main content

KTMB perkenal Pakej Keluarga Malaysia, tawar diskaun 25% tambang perjalanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan diskaun Pakej Keluarga Malaysia melalui perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity kepada semua warganegara Malaysia, bermula semalam.

 

Pakej Keluarga Malaysia adalah inisiatif baharu KTMB memberikan promosi diskaun tambang perjalanan berkumpulan sebanyak 25% bagi perjalanan bermula semalam hingga 31 Disember 2022. 

 

Pakej tersebut boleh dibeli bagi perjalanan minima empat (4) tiket dalam satu transaksi pembelian (dewasa atau kanak-kanak) untuk semua perkhidmatan ETS, Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan menggunakan kod promo KMKTMB2. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi negara, KTMB akan terus optimis dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama melalui promosi-promosi yang dirangka khas untuk Keluarga Malaysia. 

 

“Melalui pakej ini, kami menyasarkan peningkatan jualan tiket terutamanya musim cuti sekolah pada Mac dan sambutan Aidilfitri bulan Mei nanti. Saranan saya kepada seluruh Keluarga Malaysia jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan promosi ini dan rancanglah perjalanan anda,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.

 

KTMB terus komited dalam usaha memastikan semua penumpang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pengguna juga perlu memberi kerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.

 

 

KTMB

 

 

Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB. - DagangNews.com