Kuala Lumpur, Bukit Damansara dan Bangsar jadi tumpuan pembeli China  | DagangNews Skip to main content

Kuala Lumpur, Bukit Damansara dan Bangsar jadi tumpuan pembeli China 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kuala Lumpur, Bukit Damansara, Bangsar dan Kenny Hills kini menjadi tumpuan utama bagi pembeli China.

 

Selain daripada iklim politik negara stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik, pelabur kaya dari China juga tertarik dengan peluang pelaburan dan pendidikan berkualiti tinggi Malaysia. 

 

Laporan jualan kediaman Juwai IQI bagi suku pertama tahun 2024 berkata, hartanah mewah di Malaysia biasanya dijual dengan harga lebih RM1 juta, hampir dua kali ganda daripada harga purata pangsapuri baharu iaitu RM582,887 serta menunjukkan peningkatan sebanyak 42% dalam pertanyaan daripada pembeli China yang turut menyumbang kepada peningkatan dalam pembelian menurut Straits Times.

 

Kini, pembeli China menjadi kumpulan pelabur asing terbesar di Malaysia bertumpukan kepada hartanah di Kuala Lumpur dan Johor bernilai sehingga RM2 juta.

 

Walaupun pada tahun 2023 telah menyaksikan trend pelabur China menjual hartanah di luar negara disebabkan kenaikan kadar gadai janji dan ekonomi yang perlahan, ramai yang terus mencari hartanah di Malaysia. 

 

Disebabkan rombakan skim visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) baru-baru ini, yang mewajibkan pembelian hartanah oleh penduduk asing, turut meningkatkan minat pembeli China.

 

Juwai IQI turut melaporkan Malaysia kini menjadi destinasi kedua paling popular di Asia Tenggara pembeli hartanah dari China, meningkat daripada tempat ketiga pada tahun 2022, dengan Thailand kekal sebagai pilihan utama.

 

Secara amnya, Malaysia membenarkan warga asing membeli hanya hartanah berharga lebih RM1 juta untuk melindungi pembeli tempatan namun, sesetengah pembeli dari China menumpukan perhatian mereka kepada hartanah yang lebih mahal.

 

Selain itu, Zerin Properties melaporkan peningkatan ketara individu bernilai tinggi membeli rumah mewah bernilai lebih RM4 juta, dengan urus niaga meningkat sekitar 20% pada separuh pertama tahun 2024 berbanding separuh terakhir tahun 2023.

 

Kerajaan yang stabil, ekonomi yang meriah, dan persekitaran berbilang budaya menarik minat pembeli dari China, UK, dan India, memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia yang mana kebanyakanya mencari kondominium mewah dan rumah besar berharga melebihi RM4 juta.

 

Jumlah warga China yang tinggal di Malaysia juga meningkat dengan lebih ramai pelajar dan profesional berpindah ke sini oleh kerana perjalanan tanpa visa antara China dan Malaysia, yang diperkenalkan pada Disember 2023 telah menyumbangkan dalam peningkatan itu. 

 

Sementara itu dalam tempoh lima bulan pertama 2024, seramai 1.1 juta pelancong China melawat Malaysia, berbanding 1.4 juta sepanjang tahun 2023, peningkatan itu menunjukkan minat pelanggan Cina dalam penyewaan percutian jangka pendek.- DagangNews.com