Kuari Kanthan APMC raih penarafan 5 bintang Jabatan Mineral dan Geosains | DagangNews Skip to main content

Kuari Kanthan APMC raih penarafan 5 bintang Jabatan Mineral dan Geosains

Kuari Kanthan APMC
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Kuari Kanthan milik Associated Pan Malaysia Cement (APMC) meraih penarafan 5 bintang sebagai sebahagian daripada Sustainable Indicator for Mining & Quarry Management (SDI) Audit daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). 

 

Penarafan 5 bintang terbaharu itu ialah skor tertinggi merentas kriteria yang diaudit, mempamerkan komitmen APMC terhadap kecemerlangan. 

 

Pencapaian tersebut akan meningkatkan kredibiliti, pengiktirafan dalam industri dan kelebihan perniagaan.

 

Terdahulu, Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli, menyampaikan anugerah berkenaan pada majlis makan malam kepada Pengurus Kanan APMC Kanthan Plant, Jasri Jolan, baru-baru ini.


 
Menurut Zamri, penilaian itu berlandaskan keputusan komprehensif audit SDI yang dijalankan pegawai JMG, berdasarkan pematuhan kuari terhadap kriteria ketat, yang merangkumi pematuhan, amalan terbaik, faedah sosioekonomi, amalan hijau, tanggungjawab sosial komuniti, dan nilai estetika.

 

Semenjak 1963, Kuari Kanthan APMC memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Perak, menyumbang kepada projek serantau seperti empangan Sultan Azlan Shah dan projek nasional termasuk Terowong SMART dan Menara Berkembar Petronas. 

 

Mencerminkan kebertanggungjawabannya dalam mengekalkan keseimbangan antara pemeliharaan landskap karst batu kapur tropika dan keperluan industri untuk pembangunan, APMC terlibat dalam pemetaan Geotapak Bukit Kanthan pada 2017.

 

 

kuari
Datuk Zamri Ramli (tengah) menyampaikan penarafan lima bintang kepada Jasri Jolan (kanan).

 

 

APMC bersama sepasukan pakar, telah menjalankan kerja-kerja pemetaan geologi, geomorfologi, dan biologi secara saintifik bagi komponen bernilai tinggi di Geotapak Bukit Kanthan. 

 

Usaha menentukan sempadan pemuliharaan ini bertujuan menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak yang telah mengiktiraf Lembah Kinta sebagai Geopark Negara bagi menggalakkan pembangunan lestari yang seimbang. 

 

Syarikat itu merupakan syarikat pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menjalankan usaha pemuliharaan di tapak kuari yang aktif. 

 

Pada 2021, kuari tersebut juga telah diiktiraf sebagai Johan Kuari Lestari di Anugerah Alam Sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar Perak. - DagangNews.com