Kulim ambil alih Ladang Air Manis di Sedenak seluas 818 hektar | DagangNews Skip to main content

Kulim ambil alih Ladang Air Manis di Sedenak seluas 818 hektar

Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi SCSB, Ir Mohd Nazree Abu Kassim (dua dari kanan) selepas menandatangani perjanjian pengurusan bagi pengambilalihan Ladang Air Manis, hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jun – Kulim (Malaysia) Bhd. menerusi anak syarikatnya, Mahamurni Plantations Sdn. Bhd. (MPSB), memeterai perjanjian pengurusan dengan Southern Catalyst Sdn. Bhd. (SCSB) untuk mengambil alih operasi Ladang Air Manis di Sedenak, Johor.

 

MPSB akan menguruskan kawasan tanaman seluas 818 hektar Ladang Air Manis, yang bersebelahan dengan jalan persekutuan Kulai-Sedenak, kira-kira 12 kilometer (km) dari Kilang Sawit Sedenak Kulim.

 

Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, peluang untuk menguruskan Ladang Air Manis akan memperluaskan lagi pengeluaran dan meningkatkan skala ekonomi kerana berdekatan dengan kilang minyak sawit kumpulan.

 

"Sebagai pemain perniagaan tani yang bertanggungjawab, Kulim akan menerapkan amalan pertanian terbaiknya untuk pertumbuhan optimum dan pengeluaran kelapa sawit yang mampan di ladang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perjanjian itu adalah untuk tempoh setahun dan boleh diperbaharui setiap tahun.

 

Aktiviti mengurus estet pihak ketiga adalah selaras dengan strategi perniagaan Kulim yang mewujudkan sinergi untuk memperoleh manfaat bagi kedua-dua pihak pada kadar yang kompetitif.

 

Kulim mempunyai kepakaran pengurusan untuk menyediakan perkhidmatan dalam industri perladangan seperti makmal yang mendapat akreditasi ISO dan lawatan daripada penasihat.
 

Operasi ladang Kulim di Malaysia merangkumi kawasan seluas 55,796 hektar. Kumpulan mempunyai 5 kilang minyak sawit, yang memproses 1.4 juta tan metrik buah tandan segar secara purata setiap tahun.

 

Pada 2021, kumpulan menghasilkan 295,747 tan metrik minyak sawit. Kesemua 23 ladang dan kilang sawitnya memperoleh pensijilan RSPO.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SCSB, Ir Mohd Nazree Abu Kassim berkata, perjanjian itu bukan sahaja sesuai untuk aktiviti perladangan huluan dan hilirannya tetapi yang lebih penting, prospek ke arah aktiviti perladangan yang lebih cekap, bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar di Kulai. -DagangNews.com