KUALA LUMPUR 15 Okt - Anak syarikat JCorp, Kulim Malaysia Bhd (KULIM) telah memeterai perjanjian pembelian buah tandan segar (BTS) bertauliah dengan Wild Asia dan Eng Lee Heng Trading untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit yang boleh dijejak dan mampan.
Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah Urusan KULIM, Mohd Faris Adli Shukery berkata, perjanjian pembelian itu dijangka meningkatkan pengeluaran minyak sawitnya di Kilang Sindora KULIM di Kluang, Johor.
"Ia akan menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan syarikat," katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa dengan kerjasama di bawah Skim Kumpulan Wild Asia itu, pekebun kecil berupaya mendapatkan sokongan untuk memenuhi piawaian pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) global.
Skim ini adalah program yang dibangunkan oleh Wild Asia untuk memberi sokongan teknikal dan pengurusan kepada pekebun kecil supaya pengeluaran mereka diperakui secara bebas.
“Ini adalah pencapaian penting untuk KULIM dan untuk memajukan pengeluaran minyak sawit mampan dari Malaysia.
"Penglibatan pekebun kecil dalam rantaian yang boleh dijejak dan diperakui hanyalah permulaan, dan kami berharap dapat mencari lebih banyak cara untuk membuat perubahan kepada kehidupan pekebun kecil,” kata Pengarah Eksekutif Wild Asia Dr Reza Azmi.
KULIM telah menyediakan khidmat nasihat dan sokongan teknikal kepada 21 penanam BTS, termasuk peniaga, ladang kecil dan pekebun kecil.
Syarikat itu juga memberi ganjaran kepada pekebun kecil yang diperakui RSPO dengan premium tambahan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan.
KULIM telah menetapkan sasaran untuk semua penanam BTSnya memperoleh pensijilan RSPO. - DagangNews.com