Kumpulan BDB bangunkan projek Darulaman Lagenda dengan GDV RM550 juta | DagangNews Skip to main content

Kumpulan BDB bangunkan projek Darulaman Lagenda dengan GDV RM550 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Sept.  Kumpulan Bina Darulaman Berhad mengumumkan projek pembangunan mampu milik Darulaman Lagenda dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM550 juta.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Faris Najhan Hashim berkata, projek berkeluasan 229.99 ekar itu akan dibangunkan oleh BDB Lagenda Sdn Bhd (BDB Lagenda) iaitu syarikat usaha sama di antara BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) dan LPB Development Sdn Bhd.

Katanya, fasa pertama projek akan melibatkan pembangunan seluas 27.47 ekar merangkumi 282 unit rumah setingkat mampu milik dengan GDV berjumlah RM57.60 juta dengan anggaran harga jualan di antara RM180,000 hingga RM250,000 seunit.

"Permintaan terhadap rumah mampu milik khususnya di kawasan Sungai Petani adalah tinggi berbanding dengan penawaran. Justeru itu, BDB Lagenda mengambil peluang ini untuk memenuhi permintaan tersebut.

"Secara amnya, pihak kami menjangkakan lonjakan pasaran hartanah akan mula dirasai pada suku keempat tahun 2021 dengan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pendaftaran bagi fasa 1 akan mula dibuka pada November 2021 dan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada suku kedua tahun 2022 dengan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

"Sebaik selesai fasa pertama, BDB Lagenda akan meneruskan pembinaan bagi fasa-fasa seterusnya yang akan terus diberi penekanan dalam penyediaan rumah mampu milik. 

"Fasa seterusnya akan melibatkan pembangunan seluas 198 ekar dengan anggaran penyediaan 2,212 unit rumah mampu milik yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat dan juga rumah kluster dengan anggaran GDV sebanyak RM500 juta," katanya.

Pembangunan Darulaman Lagenda apabila siap kelak akan menyediakan anggaran sebanyak 2,500 unit rumah mampu milik yang akan menjadi pencetus kepada pembangunan perbandaran seumpamanya di Negeri Kedah khususnya. 

Projek ini sekali gus akan membantu kerajaan dalam menyediakan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat di negeri ini selari dengan aspirasi di peringkat negeri dan juga kebangsaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan juga M40. -DagangNews.com