Kumpulan HEB mahu manfaatkan peluang dalam sektor pusat data, RE | DagangNews Skip to main content

Kumpulan HEB mahu manfaatkan peluang dalam sektor pusat data, RE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - HSS Engineers Berhad (Kumpulan HEB) mahu memanfaatkan sektor baharu muncul seperti pusat data dan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi memenuhi prospek masa hadapan dengan menggunakan kepakaran terasnya dalam bidang pengangkutan, pelabuhan dan infrastruktur air.

 

Kumpulan HEB baru-baru ini memperoleh kontrak RM8.9 juta untuk menyediakan reka bentuk kejuruteraan profesional dan perkhidmatan perundingan untuk cadangan pusat data Infinaxis Data Centre Sdn. Bhd. di Cyberjaya.

 

Sebelum itu, kumpulan itu memenangi kontrak RM8.8 juta pada Januari 2023 bagi menyediakan perkhidmatan perundingan pengurusan projek untuk pusat data Yellowwood dan pencawang elektriknya di Sedenak Tech Park, Johor.

 

Kumpulan itu juga telah mula memasuki ruang RE setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Shizen International Inc (Shizen) pada September 2022 untuk meneroka projek solar untuk kapasiti terkumpul sehingga 250 megawatt dalam tiga tahun akan datang.

 

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan HEB, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata, peluang ini boleh digunakan untuk menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya dan melonjakkan prospek apabila kumpulan mengukuhkan kedudukannya dalam skop kepakaran sedia ada dalam sektor rel, jalan raya dan air.

 

“Dengan kejayaan melaksanakan lebih 800 projek di Malaysia, kami dianggap sebagai ‘Central Digital Data Depository’ dalam sektor lebuh raya, jalan raya, rel dan air negara.

 

HSS
Tan Sri Kuna Sittampalam

 

"Walaupun kami mengukuhkan kedudukan kepimpinan kami dalam bidang kepakaran teras kami dalam projek pembangunan negara berimpak tinggi, kami juga mempercepatkan usaha kami untuk memupuk sektor baharu untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan yang tinggi," katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya bercita-cita untuk mempunyai gabungan projek yang baik dalam sektor baharu dan kepakaran teras mereka.

 

Katanya, hasil daripada MOU perkongsian pilihan yang ditandatangani dengan perunding perkhidmatan kejuruteraan Jepun Oriental Consultants Global Co Ltd (OC Global) dan Yachiyo Engineering Co., Ltd. (Yachiyo).

 

"Kami telah menuai hasil pertama ini pada Februari 2023, apabila syarikat bersekutu HEB Group HSS Integrated Sdn. Bhd. bersama Oriental Consultants Global Co., Ltd., Jepun (“OCG”) dan EGIS Rail S.A., Perancis menandatangani perjanjian kontrak dengan Bangladesh Railway akan menyediakan perkhidmatan perundingan dan teknikal untuk Projek Kemudahan Persediaan Penambahbaikan Kesalinghubungan Kereta Api yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) di Dhaka," katanya.

 

Di Malaysia, pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi dijangka akan dilaksanakan pada separuh kedua 2023, seperti Pan Borneo Fasa 1B, LRT Pulau Pinang dan pelbagai projek tebatan banjir. 

 

Kumpulan HEB mempunyai tempahan semasa berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi projek utama negara berimpak tinggi seperti kerja-kerja perundingan pengurusan projek untuk Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, perkhidmatan kejuruteraan berfungsi untuk Rel Pantai Timur Link, Iskandar BRT dan projek dalam sektor air.

 

Dalam sektor air, kumpulan itu juga telah memperoleh kemenangan ketara melalui konsortium dengan rakan kerjasama AFRY Switzerland Ltd untuk menyediakan Perkhidmatan Jurutera Pemilik untuk Program Lanjutan Hayat Tenaga Nasional Berhad Stesen Hidro Elektrik Sungai Perak, dengan nilai kontrak yang boleh diagihkan kepada Kumpulan sebanyak RM 22.9 juta. - DagangNews.com