Kumpulan H&L High-Tech 'tidak tahu' punca harga saham naik mendadak | DagangNews Skip to main content

Kumpulan H&L High-Tech 'tidak tahu' punca harga saham naik mendadak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Kumpulan H&L High-Tech Berhad tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berhubung perniagaan dan urusan kumpulan yang boleh menyumbang kepada lonjakan mendadak harga dan jumlah sahamnya.

 

Dalam jawapan balas kumpulan kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) oleh Bursa Malaysia, Kumpulan H&L High-Tech sedia maklum bahawa prestasi kewangannya telah bertambah baik.

 

Seperti mana diumumkan Kumpulan H&L High-Tech pada 29 Jun lalu, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.656 juta bagi suku tahun berakhir 30 April 2021 berbanding kerugian RM0.656 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. 

 

“Oleh itu, selain daripada sebab yang diberikan, kami tidak mengetahui sebarang kemungkinan penerangan lain yang menyebabkan lonjakan mendadak harga dan jumlah saham kumpulan,” jelasnya dalam satu makluman di Bursa Malaysia. 

 

Tambah Kumpulan H&L High-Tech, kumpulan ketika ini dalam peringkat akhir bagi rundingan pembelian hartanah bernilai kira-kira RM13.38 juta. 

 

Selain itu, kumpulan juga sedang meneroka pilihan untuk membangunkan hartanah di atas tanah-tanah sedia ada yang dimilikinya serta anak syarikat.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham Kumpulan H&L High-Tech terus mencecahkan paras tertinggi walaupun menerima ‘sepucuk surat’ dari Bursa Malaysia berhubung prestasi luar biasa sahamnya. 

 

Saham kumpulan melonjak sehingga RM1.13 atau 20.04% kepada RM6.77 selepas dagangan dibuka. - DagangNews.com