Kumpulan MBSB lantik Rafe Haneef sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank | DagangNews Skip to main content

Kumpulan MBSB lantik Rafe Haneef sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Rafe Haneef - Gambar hiasan dari Facebook MBSB Bank
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kumpulan MBSB mengumumkan pelantikan Rafe Haneef sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, berkuat kuasa 19 Ogos 2024.

 

Pelantikan tersebut merupakan peranan tambahan kepada Rafe Haneef selain sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MBSB Berhad.

 

Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pelantikan Rafe Haneef sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank adalah satu langkah penting dalam membina kemajuan Kumpulan itu.

 

"Beliau membawa pengalaman perbankan Islam yang luas dan mempunyai pengalaman kepimpinan yang akan membantu Kumpulan memacu peningkatan selanjutnya dalam bidang utama seperti pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan pembangunan portfolio bagi menarik segmen pelanggan berkualiti. 

 

"Kami yakin di bawah kepimpinan Rafe Haneef, MBSB Bank akan terus memberikan perkhidmatan bernilai kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami, terutamanya dalam memanfaatkan sinergi bersama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), mengukuhkan lagi kedudukan daya saing kami dalam pasaran,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak menyertai Kumpulan MBSB pada Julai 2023, Rafe Haneef telah memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif strategik Kumpulan.

 

Selain itu, beliau juga mengetuai penyelarasan kira-kira 170 polisi di MBSB Bank dan MIDF yang merupakan satu langkah penting dalam proses mengintegrasikan kedua-dua institusi itu. 

 

Di bawah kepimpinan beliau, strategi FLIGHT26 telah dilancarkan khususnya untuk membimbing peralihan kumpulan daripada institusi diterajui pembiayaan kepada entiti diterajui deposit, khususnya meningkatkan CASA.

 

Kumpulan itu turut berkata, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Rafe Haneef akan meneruskan usaha itu memastikan bank kekal pada trajektori pertumbuhan kukuh, tertumpu pada pertumbuhan mampan, prestasi kewangan dan penyelesaian yang mengutamakan pelanggan.

 

MBSB Bank baru-baru ini menjadi perhatian membabitkan isu kehilangan wang daripada akaun simpanan tetap pemegang akaun bank itu pada Julai 2024. 

 

Sehubungan itu, seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank yang disyaki terbabit dengan sindiket curi wang deposit tetap berjumlah RM24.2 juta didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu.- DagangNews.com