KWSP : i-Citra, cara terbaik bantu ahli terjejas akibat PKP | DagangNews Skip to main content

KWSP : i-Citra, cara terbaik bantu ahli terjejas akibat PKP

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) komited inisiatif i-Citra dapat membantu rakyat Malaysia yang terjejas dalam mendepani cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam jangka masa pendek.

 

Malah, menurut dana persaraan itu, kemudahan itu diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli menghadapi cabaran dan diusahakan setelah dipertimbangkan dengan teliti cara terbaik untuk membantu ahli yang terjejas sekali gus berpegang kepada mandat KWSP.

 

"Walaupun KWSP tetap komited untuk membantu melindungi dana persaraan ahli, kami maklum perlunya keseimbangan bagi keperluan semasa dengan simpanan masa depan dan kemudahan sementara bagi membantu ahli dalam menghadapi pandemik ini," jelas KWSP.

 

Kemudahan pengeluaran i-Citra ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Ahli KWSP boleh memohon pengeluaran i-Citra mulai 15 Julai ini.

 

Permohonan ini boleh dibuat menerusi icitra.kwsp.gov.my dengan pembayaran pertama dijangka bermula Ogos.

 

Menurut KWSP, semua ahli di bawah umur 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2. 

 

"Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50," katanya hari ini.

 

Nombor telefon bimbit yang telah dikemas kini untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) dan akaun bank peribadi aktif diperlukan untuk memudahkan proses permohonan.

 

Untuk maklumat lebih lanjut, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.- DagangNews.com