KWSP Lahad Datu dan Tawau ditutup sementara bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

KWSP Lahad Datu dan Tawau ditutup sementara bermula hari ini

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat cawangannya di Lahad Datu dan Tawau bermula 29 September hingga tarikh yang akan dimaklumkan.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, penutupan tersebut susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran.

"Semua urusan Janji Temu Online (JTO) yang dibuat di pejabat Lahad Datu dan Tawau dibatalkan dengan serta-merta dan mereka terbabit perlu membuat semula janji temu tersebut selepas PKPDB ditamatkan.

"Ahli dan majikan bagaimanapun masih boleh menggunakan perkhidmatan secara dalam talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun Majikan), yang beroperasi seperti biasa," jelas KWSP. 

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPDB bermula pukul 12.01 tengah malam tadi selama dua minggu iaitu hingga 12 Oktober ini.

Empat kawasan yang terlibat di Pantai Timur Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Tambah KWSP, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.

Oleh demikian, ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.

"Dalam tempoh mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau menerusi saluran digital. 

"Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan dan segala kesulitan amatlah dikesali," tambah KWSP lagi. - DagangNews.com