KWSP nilai impak pelaburan, utamakan ahli  | DagangNews Skip to main content

KWSP nilai impak pelaburan, utamakan ahli 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus memastikan kemampanan dalam pulangannya walaupun berdepan ketidaktentuan sepanjang 2019. 

 

"Apabila meninggalkan 2019, kita memasuki tahun 2020 yang kemudiannya dunia bergolak sekali lagi akibat serangan pandemik COVID-19 dan perlumbaan vaksin yang sukar difahami membawa kita ke dekad baru," demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias. 

 

Dalam laporan tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini, beliau bagaimanapun berkata, pelaburan KWSP terus merekodkan angka yang kukuh dengan sebahagian besarnya disokong Peruntukan Aset Strategik (SAA) dan pasukan Panel Pelaburan yang berkebolehan. 

 

Setelah mengambil kira keadaan dan ketidakstabilan pasaran yang berterusan sama ada di peringkat domestik mahupun global, KWSP memulakan usaha untuk mengubah pendekatan dalam menguruskan risiko kewangan dan bukan kewangan. 

 

"Tambahan pula, dengan ketidaktentuan pasaran pada 2019, saya berpuas hati kita masih boleh mengisytiharkan dividen yang kukuh pada 5.45% dengan bayaran berjumlah RM41.68 bilion (Kovensional) dan 5% dividen bagi Syariah dengan bayaran sebanyak RM4.14 bilion. 

 

"Ini mencerminkan asas yang kukuh bersama pandangan jauh yang strategik dan paling penting sekali, pengurusan yang berhemah," katanya. 

 

Setakat 31 Disember 2019, aset pelaburan KWSP mencecah RM924.75 bilion (termasuk tunai baki bank) dengan 37% adalah daripada portfolio syariah. 

 

Pelaburan di luar negara pula merangkumi 30.3% dan menyumbang 41% kepada keseluruhan pendapatan kasar sebanyak RM50.91 bilion, pulangan daripada kepelbagaian aset KWSP. 

 

Tunku Alizakri berkata, 2019 merupakan tahun ketiga berturut-turut bagi KWSP merekodkan pelaburan kasar melebihi RM50 bilion. 

 

"Dengan kepastian yang dijangka berterusan, dalam hal ini, KWSP akan mempercepatkan usaha untuk mengubah dan membuktikan cara kami bekerja dan berkhidmat kepada ahli, untuk menunaikan amanah menjaga simpanan mereka," katanya. 

 

Beliau menyifatkan, walaupun KWSP merupakan antara dana persaraan tertua dan berjaya di dunia, tetapi ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana dekad akan datang adalah lebih penting. 

 

"Tahun-tahun akan datang adalah lebih sukar untuk dijangka dan ketika laporan ini ditulis pun, kita telah berdepan dengan gelombang pertama COVID-19 sebelum muncul gelombang kedua yang boleh mengancam pemulihan ekonomi," ujar beliau. 

 

Menurutnya, Malaysia dijangka muncul negara tua menjelang 2025 dan 7.5% daripada jumlah penduduk tahun ini, 33.3 juta adalah mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas. 

 

Dengan memetik kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), meskipun hidup lebih lama, namun rakyat Malaysia hilang satu perlima setahun kepada beban kewangan disebabkan penyakit tidak berjangkit dan gangguan mental.

 

"Apatah lagi, dengan mengambil kira, sebahagian besar tidak mempunyai simpanan cukup untuk hari tua, inilah realiti yang akan memberi impak kepada kualiti kehidupan ahli-ahli kami," katanya. 

 

Tunku Alizakri berkata, KWSP akan terus meningkatkan usahanya untuk membantu ahli-ahlinya mempunyai simpanan mencukupi dalam mengharungi usia emas. 

 

Ini berpandukan kesemua faktor tesebut dan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dan perniagaan yang lembap dalam pelbagai industri

 

"Landskap pekerjaan yang pantas berubah dan peningkatan ekonomi gig serta perubahan dalam model perniagaan dan rantaian bekalan global, semuanya akan diambil kira oleh KWSP dalam merangka strategi jangka panjang. 

 

"Kemampanan akan menjadi teras kepada kerangka kerja ini, kedua-duanya dari segi pulangan kewangan kepada ali dan juga dalam menilai kesan KWSP sebagai organisasi, ke atas persekitaran dan masyarakat, amnya," katanya. - DagangNews.com