KWSP sedia labur luar negara | DagangNews Skip to main content

KWSP sedia labur luar negara

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengembangkan portfolio globalnya dengan meneroka pelaburan luar negara melalui AS$216 bilion (RM924.75 bilion) asetnya bagi mengekalkan dividen yang tinggi kepada pekerja Malaysia dalam menghadapi peluang terhad sekali gus mengatasi pulangan 4% hingga 5% yang telah dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, KWSP kini mempunyai hampir 30% pelaburannya di luar negara dan jumlah asetnya meningkat daripada 10.9% tahun lalu kepada RM924.75 bilion pada akhir 2019.

“Kadar pertumbuhan dana kita melebihi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia. Walaupun masa sangat mencabar, KWSP menjangkakan pulangan melebihi 4% hingga 5% untuk keseluruhan tahun 2020 dan juga dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kadar keuntungan telah melebihi sasaran dalamannya untuk purata pulangan 2% hingga 2.5% bagi tempoh tiga tahun,” katanya dalam wawancara TV Bloomberg, hari ini.

Malaysia berada di ambang kemelesetan dengan kerajaan menghadapi risiko penurunan penarafan kredit selepas S&P Global Rating dan Fitch Rating menurunkan prospek kepada negatif.

Bank Dunia pula mengurangkan ramalan ekonomi untuk penguncupan 3.1%  daripada penurunan 0.1% ekoran wabak Covid-19 serta penutupan aktiviti ekonomi di seluruh negara.

Susulan daripada itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan pekej rangsangan ekonomi sebanyak RM295 bilion untuk menyelamatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah tersebut termasuklah pengurangan automatik sumbangan kepada KWSP daripada 11% kepada 7% bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna.

“Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen terendah sejak 2008 pada kadar 5.45% di samping pulangan dana patuh Syariah 5%. Itu setanding dengan penurunan 6% dalam penanda aras Indeks KLCI Bursa Malaysia FTSE pada tahun 2019”, katanya lagi. - DagangNews.com