Lagenda Properties diunjur catat rekod jualan RM1.2 bilion pada FY24 didorong pelancaran hartanah baharu | DagangNews Skip to main content

Lagenda Properties diunjur catat rekod jualan RM1.2 bilion pada FY24 didorong pelancaran hartanah baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Lagenda Properties Bhd diunjur mencatatkan rekod jualan sebanyak RM1.2 bilion pada FY24 disokong pelancaran hartanah baharu berjumlah RM1.9 bilion.

 

AmInvestment Bank Research berkata, jumlah itu adalah 2.6 kali ganda lebih tinggi berbanding pelancaran pada FY23 berjumlah RM762 juta.

 

Katanya, kumpulan itu telah melancarkan projek di Perak (Setiawan, Teluk Intan dan Tapah), Kedah (Sungai Petani) dan Johor (Mersing). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada FY24, Lagenda Properties berhasrat meluaskan kehadirannya ke Selangor (Ulu Bernam) dan Pahang (Kuantan).

 

"Lagenda merancang untuk meningkatkan pelancaran di Johor, khususnya di Kulai, Mersing dan Kota Tinggi. Pelancaran itu merangkumi 45% daripada perancangan pada FY24.

 

"Berdasarkan anggaran, kami menjangkakan bahawa projek di Johor berpotensi menyumbang sehingga 20% daripada pendapatan kumpulan bermula FY25 sehingga FY32," katanya dalam satu nota kajian.

 

AmInvestment percaya, kemasukan kumpulan itu ke Johor adalah tepat pada masanya kerana hartanah kediaman di negeri itu termasuk di kawasan Skudai, Pulai, Pasir Gudang dan Kulai mungkin mendapat manfaat daripada kesan limpahan kenaikan harga hartanah di Johor Bahru.

 

Katanya, kawasan itu boleh menarik minat rakyat Johor terutamanya selepas Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura siap memandangkan tawaran produk yang menarik daripada Lagenda Properties.

 

"Ini adalah kerana sistem pengangkutan yang lebih baik akan membantu penduduk untuk mencari lebih banyak harga rumah mampu milik yang jauh dari bandar dan ia akan membantu meningkatkan permintaan untuk hartanah kawasan pinggir bandar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.98 sesaham. - DagangNews.com