KUCHING 4 Jan – Pelawat yang ingin melancong ke Sarawak hanya perlu mengisi borang EnterSarawak dan Borang Perisytiharan e-Kesihatan (eHDF).
Menurut SOP terbaharu yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) pada 3 Januari 2022, langkah tersebut adalah sejajar dengan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
‘’Pelawat yang bukan rakyat Sarawak dan lengkap divaksinasi sepenuhnya, hanya perlu mengisi borang EnterSarawak dan eHDF. (Sebelum ini pemohon perlu memohon dan menanti kelulusan untuk masuk).
Dokumen lain yang perlu disediakan oleh pelawat ialah sijil vaksinasi COVID-19 atau kad vaksinasi COVID-19 Kementerian Kesihatan, salinan kad pengenalan, tiket penerbangan, tujuan lawatan, butiran lawatan, bukti tempahan lawatan dan bukti masuk untuk tujuan santai.
Menurut SOP terbaharu ini, premis kebudayaan dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, kampung budaya serta persembahan kebudayaan dibenarkan untuk kembali beroperasi.
Pusat tarikan pelancong seperti zoo, ladang-ladang, pusat hiburan dan pendidikan seperti akuarium, taman rekreasi ekstrem, taman kembara, taman alam semulajadi dan lain-lain juga dibenarkan untuk beroperasi.
ARTIKEL BERKAITAN: Nang Nyaman juadah etnik Sarawak, tarikan utama pelancong
Aktiviti-aktiviti tersebut dibenarkan dengan syarat mandatori pematuhan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa serta pematuhan semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak. – DagangNews.com