Laluan Sutera Digital kukuhkan ekonomi China-Malaysia | DagangNews Skip to main content

Laluan Sutera Digital kukuhkan ekonomi China-Malaysia

China dan Malaysia

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Inisiatif Laluan Sutera Digital dilihat mampu mengukuhkan perniagaan dan ekonomi antara China dan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif berkenaan juga dapat membantu mengukuhkan lagi kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua negara berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya menyokong penuh inisiatif seperti ini kerana ia memberi platform beraspirasi kepada golongan muda bagi menyumbang idea dan bakat mereka kepada ekonomi dan manfaat kepada kedua-dua negara.

"Saya juga optimis bahawa insiatif seperti ini dapat membantu mengukuhkan kerjasama dan persahabatan antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Nancy Shukri
Nancy Shukri

 

Inisiatif Laluan Sutera Digital yang menekankan kepada peningkatan tahap celik internet kepada golongan muda itu dilancarkan oleh Persatuan Industri Kebudayaan dan Hiburan China (CCEA).

Berdasarkan laporan Biro Statistik Kebangsaan China, sebanyak 16 entiti perniagaan tipikal dalam industri budaya digital sudah mencatatkan pulangan tahunan sebanyak ¥523.6 bilion renminbi (RMB) iaitu RM319.5 bilion.

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan kadar pertumbuhan pada tahap 15.5%.

Tambah beliau, angka tersebut menunjukkan bahawa ekonomi digital memiliki potensi tanpa had yang melangkaui sempadan.

Sementara itu, Presiden CCEA, Liu Jinhua berkata, pendigitalan akan mewujudkan peluang perniagaan baharu bagi memacu ekonomi ke tahap yang seterusnya dengan memanfaatkan kekayaan sumber pelancongan di kedua-dua negara.

"Forum Industri Kebudayaan dan Pelancongan Digital Malaysia-China juga telah memecahkan lingkungan masa dan ruang bagi membuka jalan ke arah komunikasi yang sejajar di masa hadapan.

"Aset terbesar sesebuah negara atau bandar ialah budaya. Persaingan yang dibina atas kelebihan kebudayaan ialah aspek pembangunan negara yang berpusat, paling asas dan berjangka lama," tambahnya. - DagangNews.com