Laman komuniti HotDTaiping aktif sampaikan sumbangan kepada asnaf semasa pandemik | DagangNews Skip to main content

Laman komuniti HotDTaiping aktif sampaikan sumbangan kepada asnaf semasa pandemik


TAIPING 10 Ogos – Pengendali laman Facebook komuniti HotDTaiping turut sama turun padang memberi sumbangan kepada golongan memerlukan dan terkesan akibat pandemik COVID-19 di sekitar daerah Taiping ini.

 

Seorang daripada pengendalinya, Safwan Noor @SN berkata, pihaknya menerima dua jenis sumbangan iaitu hasil daripada iklan-iklan perniagaan di dalam komuniti HotDTaiping dan juga dari penderma yang enggan didedahkan identiti mereka.

 

Menurutnya, HotDTaiping tidak menganjurkan pengumpulan derma khusus, sebaliknya banyak mana orang sumbang, maka dana tersebut diguna terus untuk membeli barangan makanan.

 

Beliau berkata, bilangan dana yang diterima ada masanya banyak, yang ada juga dibahagi kepada badan kebajikan lain dan ada masanya, jumlah sederhana maka para pengendali dan rakan-rakan guna duit sendiri untuk mencukupkannya.

 

“Kalau banyak orang sumbang, kami agihkan kepada penderma-penderma lain, seperti kenalan dari grup lain untuk disampaikan kepada asnaf-asnaf di tempat mereka pulak.

 

“Pemilihan penerima bantuan adalah berdasarkan asnaf-asnaf yang betul-betul memerlukan bantuan dari segi makanan, pakaian atau pun keperluan lain,” katanya kepada DagangNews.com.

 

 

HotDTaiping

 

 

Menurut Safwan, beliau dibantu oleh pengendali utama HotDTaiping iaitu Hafiz dan dibantu oleh Zakrie dan Hazwan, bermula daripada proses mengenal pasti asnaf, membeli barangan hinggalah kepada penyerahan sumbangan.

 

Menurut beliau lagi, inisiatif memberi sumbangan derma ini didorong oleh keprihatinan HotDTaiping yang berperanan sebagai pencetus maklumat dan berita di sekitar daerah Taiping dan daerah-daerah berhampiran khususnya, serta seluruh Perak dan negara amnya.

 

 

HotDTaiping

 

 

Beliau berkata, pihaknya membuka peluang kepada pengikut-pengikut HotDTaiping untuk beramal jariah bersama-sama dan jika berhasrat menderma boleh menghubungi Safwan Noor @SN atau Hafiz menerusi ruangan mesej di laman komuniti HotDTaiping. – DagangNews.com