Lambakan ayam import, ikan beku dalam pasaran untuk stabilkan harga - PM | DagangNews Skip to main content

Lambakan ayam import, ikan beku dalam pasaran untuk stabilkan harga - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kerajaan akan mengambil langkah melambakkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku ke dalam pasaran sebagi langkah menstabilkan harga bahan makanan semakin menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi melaksanakan program itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengimport 200 ke 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan.

 

Katanya, bagi bekalan ikan pula, stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan berada dalam pasaran manakala aktiviti eksport ikan akan dihentikan buat sementara waktu bagi memberi keutamaan kepada rakyat.

 

"Kita banjirkan pasaran ini dengan ayam daripada luar yang harganya lebih murah berbanding harga ayam tempatan supaya pengguna ada pilihan.

 

"Ikan juga semakin naik harga kerana musim tengkujuh sudah bermula tetapi kita boleh melambakkan pasaran dengan stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish yang tujuannya untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh.

 

"Saya juga minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kinadee kalau boleh kita hentikan eksport ikan ke luar negara untuk sementara waktu kerana yang pentingnya adalah kebajikan rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga," katanya selepas mengadakan tinjauan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya hari ini.

 

Ismail Sabri turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang memanipulasi harga bahan makanan.

 

Katanya, MAFI pula akan membantu dengan melambakkan bekalan dalam pasaran supaya harganya dapat diturunkan selain memberi lebih pilihan kepada pengguna.

 

"Pasar tani juga perlu dipantau dari segi harga kerana tujuan kita wujudkan pasar tani untuk kurangkan harga. 

 

"Pasar tani tak sepatutnya berlaku banyak rantaian yang boleh dimanipulasi orang tengah kerana prinsip pasar tani adalah daripada ladang kepada pasar tani terus ke meja makan," katanya.

 

Mengulas mengenai kenaikan harga roti, Perdana Menteri mahu, KPDNHEP membuat kajian dari segi kos secara terperinci berhubung kenaikan harga makanan itu.

 

"Kajian perlu dilakukan terhadap semua rantaian secara terperinci bermula dari kos import, sampai ke pelabuhan dan sehingga kepada rakyat. Kita perlu telus kerana rakyat mahu tahu perinciannya," katanya. - DagangNews.com