KUALA LUMPUR 6 Jan. - Malaysia dijangka akan terus mengalami lambakan hartanah dan sukar untuk kembali pulih.
Kenanga Research berkata, perkara tersebut boleh diatasi sekiranya berlaku perubahan harga hartanah yang lebih berbaloi bagi pembelian dalam tempoh masa terdekat.
“Situasi lambakan hartanah kebanyakannya adalah melibatkan pangsapuri kediaman dan berperkhidmatan, yang merangkumi 84% daripada keseluruhan jumlah lambakan.
"Unit bertingkat tinggi merangkumi 54% daripada lebihan hartanah kediaman di Malaysia.
"Kami percaya pemaju mungkin akan menurunkan harga dalam penawaran produk tertentu dalam waktu terdekat untuk memenuhi sasaran jualan seiring dengan sasaran pasaran dalam segmen mampu milik," jelas Kenanga Research.
Tambah nota kajian itu lagi, isu kemampuan memiliki rumah akan terus menjadi perhatian utama.
Kenanga Research percaya bahawa langkah kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah dan pengecualian duti setem hingga 2025 dilihat tidak mampu untuk kembali memacu permintaan hartanah yang lebih baik.
Mengulas berkaitan sambutan pasaran hartanah bagi tahun 2021, Kenanga Research memberitahu, jualan hartanah yang dinilai perlahan dalam tempoh separuh pertama 2021 (1H21) bagaimanapun dijangka kembali meningkat menjelang separuh kedua 2021 (2H21).
Kenanga Research berkata, jangkaan itu didorong oleh kelonggaran sekatan perjalanan yang mendorong pemulihan ekonomi untuk berada di landasan yang baik.
"Namun jika keadaan COVID-19 dilihat semakin buruk, ia akan menyebabkan keadaan kembali lemah," tambah Kenanga Research lagi. - DagangNews.com