‘Lambakan’ kemudahan awam tidak menguntungkan LITRAK | DagangNews Skip to main content

‘Lambakan’ kemudahan awam tidak menguntungkan LITRAK

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Salah satu penyumbang kepada perolehan baik syarikat konsesi jalan raya, Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) adalah jumlah laluan trafik yang tinggi. 

 

Bagaimanapun, insentif-insentif yang ditawarkan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam merisikokan jumlah lalu lintas seterusnya mencatatkan trafik lebih rendah. 

 

Ini termasuk pengenalan pas perjalanan bulanan tanpa had seperti My100 dan My50, kata MIDF Research. 

 

“Dalam tempoh jangka masa panjang, penyelesaian projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) Laluan 2 pada 2022 yang menghubungkan Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya dengan kemungkinan KVMRT Laluan 3 dijangka dijalankan semula akan membuat risiko itu bertambah buruk. 

 

“Terutamanya bagi SPRINT, Damansara Link yang laluannya selari dengan hala KVMRT Laluan 1 dari Stesen Semantan ke stesen Taman Tun Dr. Ismail.

 

“Kami berpendapat impak ke atas jumlah lalu lintas akan ketara dengan peningkatan berterusan dalam kemudahan awam dan hubungan,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

LITRAK mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku kedua 2021 (2Q21)sebanyak RM70.6 juta.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan syarikat itu bagi suku sama bernilai RM90.8 juta iaitu meningkat 151% daripada suku sebelumnya, dan sifar lonjakan berbanding suku sama pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Tambah MIDF, kadar tol lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) dan SPRINT bagi LITRAK akan kekal dan pampasan yang dibayar oleh kerajaan akan ditentukan sebagaimana dinyatakan di dalam Perjanjian Konsesi. 

 

Setakat ini, tiada peningkatan berjadual kadar tol di kedua-dua lebih raya itu termasuk Penchala Link sehingga tamat konsesi. 

 

Pada Januari 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pembekuan kenaikan kadar tol pada tahun kewangan 2020.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ saham LITRAK yang kini didagangkan pada penilaian yang tidak memerlukan,” tambah MIDF.  - DagangNews.com