Kempen Pemilikan Rumah mula dilancarkan pada Januari 2019 bagi merangsang pertumbuhan sektor hartanah. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Dis - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah pada 2022 berikutan prospeknya yang mencabar terutama isu lambakan rumah tidak terjual meskipun beberapa langkah dilaksanakan bagi menangani masalah berkenaan.
Antaranya, termasuklah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilanjutkan beberapa kali sehingga 31 Disember ini sejak dilancarkan pada Januari 2019.
Namun, terdapat persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan kempen tersebut memandangkan masalah lebihan bekalan masih lagi berterusan.
Penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, HOC yang sepatutnya menurunkan unit tidak terjual dan mengurangkan masalah lambakan rumah telah gagal memandangkan unit tidak terjual semakin meningkat daripada lebihan pembinaan yang terlalu banyak sejak beberapa tahun lalu.
Malah, beliau menyifatkan, pengecualian cukai yang diberikan hanyalah langkah sementara bagi menyokong sektor hartanah sedangkan isu sebenar berkaitan lebihan bekalan masih berterusan membelenggu sektor tersebut.
Jelasnya, berdasarkan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), masalah tersebut bermula sejak 2015 apabila kediaman perkhidmatan mula memenuhi pasaran secara besar-besaran di sebalik langkah pengawalan yang dilaksanakan pada 2014.
"Unit tidak terjual bagi kediaman perkhidmatan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 77% sejak 2015 hinggalah bagi tempoh 9 bulan tahun ini (9M21).
"Kami berpendapat bahawa isu yang menekan harga rumah ini tidak mungkin reda dalam jangka masa terdekat memandangkan lambakan rumah termasuk unit tidak terjual dalam pembinaan masih berada dalam pasaran sehingga hari ini.
"Berdasarkan data 9M21 terbaharu yang dijadualkan, unit tidak terjual dalam pasaran menghampiri paras tertinggi setakat ini, sebanyak 171,000 unit," jelasnya dalam nota kajian mengenai prospek hartanah.
Kebanyakan lambakan rumah dan unit tidak terjual ketika dalam pembinaan ini merujuk kepada kediaman kondominium atau pangsapuri dengan isu berkaitan lebihan bekalan ini terutamanya membabitkan kediaman bertingkat.
Walaupun jualan pada tahun kewangan 2021 (FY21) dilihat menggalakkan tetapi Joe Shen kurang optimis dengan prospek jualan pada tahun hadapan.
Ini disebabkan ketiadaan kempen HOC yang memberi penjimatan kepada pembeli rumah dan jangkaan kenaikan kadar faedah apabila ekonomi kembali pulih.
Tambahnya, isu lambakan dan unit tidak terjual dalam pembinaan yang semakin meningkat akan mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif.
Oleh itu, beliau menjangkakan keseluruhan jualan bagi tahun ke tahun bagi syarikat pemaju di bawah liputannya akan menurun kepada RM17.75 bilion.
"Tetapi, jika HOC mungkin dilanjutkan pada hari terakhir 2021, ia akan menyuntik sedikit peningkatan kepada angka jualan pada tahun hadapan," tambahnya.
Sementara itu, MIDF Research dalam laporan prospek 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini menjangkakan pemulihan berbentuk U bagi permintaan hartanah pada tahun hadapan.
Meskipun pendapatan dan jualan dijangka kembali meningkat pada tahun hadapan, tetapi firma itu melihat momentumnya adalah sederhana.
"Di sebalik kadar faedah yang rendah memberi sokongan kepada pemulihan sektor hartanah, kami berpendapat sektor hartanah memerlukan pemangkin yang kukuh antaranya pelaburan asing bagi merangsang minat pembelian.
"Selain itu, pemaju juga akan kekal agresif dengan menawarkan rebat bagi menarik pembeli rumah dalam usaha menangani masalah hartanah tidak terjual," katanya.
Firma itu menjangkakan pemaju hartanah dapat mengiktiraf pendapatan yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan dan seterusnya merekodkan pendapatan yang lebih baik pada 2022.
CGS-CIMB dalam laporan prospeknya pula melihat isu mampu milik masih menyelubungi sektor hartanah apabila data Jabatan Perangkaan menunjukkan pendapatan min bulanan isi rumah susut 10.3% kepada RM7,089 pada 2020 berbanding RM7,901 pada 2019 disebabkan pandemik COVID-19.
Di samping itu, katanya, kenaikan kadar faedah turut mempengaruhi sektor ini dengan penganalisisnya menganggarkan kenaikan 25 mata asas pada FY22.
"Kami juga melihat isu rumah tidak terjual masih tinggi sekitar 8% dalam tempoh 9M21 ini (dari segi jumlah unit tidak terjual) di sebalik lanjutan HOC.
"Pada masa sama, akan ada peningkatan dalam lelongan (akibat pinjaman tidak berbayar) apabila moratorium tamat kelak," katanya. - DagangNews.com