Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Dalam tempoh cabaran COVID-19, syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) juga diheret dan bakal didakwa dalam kesalahan pelanggaran akta perumahan pekerja.
CGS-CIMB Research yang menganalisis risiko syarikat berkenaan memberitahu, Top Glove berkemungkinan perlu membayar denda hingga RM15 juta terhadap kesalahan tersebut.
"Pada masa ini kami tidak dapat memastikan caj yang akan dikenakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) terhadap Top Glove (RM50,000 bagi setiap kesalahan).
"Ini memerlukan kepada butiran lanjut seperti jumlah dan jenis caj yang akan dikenakan kepada Top Glove.
"Dengan andaian bahawa setiap penginapan pekerja yang dianggarkan berjumlah 300 penginapan, dan akan didenda RM50,000 bagi setiap penginapan. Top Glove perlu membayar denda hingga RM15 juta," jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Semalam, DagangNews.com melaporkan beberapa buah syarikat termasuk Top Glove bakal didakwa setelah didapati melanggar akta perumahan pekerja.
Perkara tersebut didedahkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Baca: JTKSM bakal dakwa syarikat langgar akta perumahan pekerja termasuk Top Glove
KSM telah membuka sebanyak 19 kertas siasatan terhadap enam syarikat yang berkaitan Top Glove.
Top Glove dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tujuan berkenaan.
Top Glove juga memberitahu akan meningkatkan jumlah perumahan untuk pekerjanya termasuk usaha yang telah dijalankan baru-baru ini yang melibatkan kos RM20 juta untuk membeli 100 unit pangsapuri.
Usaha itu adalah sebagai tambahan kepada pelaburan sebelumnya yang berjumlah RM50 juta untuk mendirikan 1,000 rumah dan asrama dua tingkat dengan pelbagai kemudahan.
"Kami tidak membuat perubahan kepada jangkaan perolehan sesaham (EPS) FY21-23 kerana kami menunggu maklumat lanjut berkaitan perkara ini.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) berjumlah RM10.00. - DagangNews.com