Langkah Axiata jual sebahagian kepentingan dalam Link Net bagi menjana AS$500 juta dijangka tingkatkan PATAMI – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Langkah Axiata jual sebahagian kepentingan dalam Link Net bagi menjana AS$500 juta dijangka tingkatkan PATAMI – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Penjualan sebahagian kepentingan Axiata Group Bhd dalam anak syarikatnya di Indonesia, PT Link Net bagi menjana AS$500 juta (RM2.39 bilion) dijangka dapat meningkatkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan.

 

Ini boleh berlaku seandainya kumpulan itu menjual 39% kepentingan ekuiti dalam Link Net untuk mengekalkan 50% kepentingan mengawal dengan pertimbangan tunai AS$78 juta (berdasarkan harga pasaran semasa).

 

AmInvestment Bank Research berkata, pendedahan Axiata kepada kerugian Link Net pada tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak 274 bilion rupiah (RM83.5 juta) boleh meningkatkan PATAMI kumpulan kira-kira 6%.

 

Nisbah hutang bersih kepada EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) Axiata bagi FY24 pula diunjur bertambah baik sedikit kepada 1.97 kali daripada 2.03 kali pada masa ini.

 

Anak syarikat 89% milik Axiata di Indonesia itu sedang mempertimbangkan untuk menjana modal sebanyak AS$500 juta (RM2.39 bilion) bagi mempercepatkan pelancaran gentiannya menerusi jualan ekuiti dan pinjaman, yang ketika ini masih di peringkat awal dan tiada maklumat terperinci telah didedahkan.

 

“Kami berpendapat bahawa Kumpulan Axiata dan XL tidak mungkin memilih untuk berhenti memiliki pegangan majoriti dalam Link Net kerana ia akan menghalang pelan transformasi struktur Axiata untuk operasinya di Indonesia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata pengumpulan dana AS$500 juta akan dijalankan secara berperingkat, terikat dengan keperluan perbelanjaan modal untuk akses Internet kediaman yang dikeluarkan.

 

Link Net menyasarkan untuk melancarkan 8 juta akses kepada kediaman dalam tempoh lima tahun akan datang daripada asas sedia ada yang kukuh sebanyak 3.2 juta akses.

 

AmInvestment percaya suntikan modal ini akan menyokong tambahan 2 juta akses baharu di samping rancangan 1 juta Internet kediaman yang sedang berjalan untuk pelanggan XL, yang mempercepatkan pertumbuhan jalur lebar tetap Indonesia.

 

Firma itu positif terhadap hasrat Axiata untuk mengumpul dana dengan menjual sebahagian daripada kepentingannya dalam Link Net, yang juga boleh bermakna mendapatkan sumber pembiayaan luar dan mengurangkan kebergantungan syarikat itu kepada Axiata untuk membiayai pertumbuhan operasi.

 

“Bagaimanapun, pada masa hadapan, kami berhati-hati terhadap prospek Axiata kerana kos kewangan kumpulan masih akan meningkat disebabkan oleh pembiayaan hutang tambahan untuk pelancaran gentian Link Net, kerugian permulaan perbankan digital dan penambahan perbelanjaan modal edotco di Filipina,” tambahnya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM2.95 sesaham daripada RM2.23 sebelum ini selepas mengambil kira penilaian pasaran XL Axiata yang lebih tinggi.

 

Pada pukul 12:13 tengah hari ini, saham Axiata menokok 2 sen atau 0.7% kepada RM2.77, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM25.4 bilion. - DagangNews.com