KUALA LUMPUR 8 Feb - Langkah kerajaan membenarkan import keseluruhan ayam dari luar negara (melebihi tempoh pendek selama 3 bulan) akan memberi kesan jangka panjang kepada dinamik bekalan-permintaan dalam pasaran ternakan ayam di Malaysia, demikian menurut CGS-CIMB.
Penganalisisnya, Walter Aw berkata, ia berlaku kerana pengeluar ayam tempatan tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menghentikan operasi disebabkan daya saing yang lebih rendah.
Katanya, berdasarkan semakan yang dijalankan membabitkan pengeluar tersebut, pelaksanaan harga siling jualan bagi keseluruhan ayam juga menyebabkan tekanan margin yang mendadak ekoran peningkatan kos.
"Secara keseluruhan, kami melihat perkembangan ini adalah negatif terhadap sektor ternakan ayam di Malaysia disebabkan persaingan harga daripada ayam import.
"Kami juga menjangkakan berlakunya pemampatan margin dan jumlah jualan ayam yang lebih rendah berikutan langkah kerajaan bagi tempoh jangka pendek ini.
"Bagaimanapun, bagi isu ayam import ini, kami percaya kerajaan hanya membenarkan ia diimport buat sementara waktu bagi keseluruhan ayam, sehingga harga jualan ayam tempatan menurun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 31 Januari lalu, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 sekilogram, iaitu pengurangan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10.
Harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.
Di bawah SHMKM, harga runcit sebiji telur ayam di Semenanjung ialah 44 sen (Gred A), 42 sen (Gred B) dan 40 sen (Gred C) manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah bergantung kepada kawasan.
Pelaksanaan kedua-dua harga itu berkuatkuasa pada 5 Februari hingga 5 Jun 2022.
Malah, kerajaan turut memutuskan permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.
Aw berpendapat, kenaikan harga jualan ini disebabkan harga kos ternakan yang lebih tinggi dan kos operasi meningkat kerana masalah kekurangan tenaga buruh.
"Selain itu, jumlah pengeluaran juga adalah rendah disebabkan impak pandemik COVID-19 dan kelemahan ringgi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," tambahnya.
Namun, secara menyeluruh, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor ternakan ayam.
Ini memandangkan syarikat di bawah liputannya, iaitu QL Resources Bhd. dan CCK Consolidated Holdings Bhd. yang terlibat dalam perniagaan ternakan ayam kurang terjejas berbanding pemain industri yang lain kerana mempunyai kepelbagaian rantaian bekalan.
"Bagi QL Resources, impak kenaikan harga makanan ternakan dikurangkan oleh bahagian penyumberan bahan mentah (60% daripada bahagian ternakan bersepadu QL), yang mengamalkan mekanisme pelepasan kos (keuntungan yang lebih tinggi daripada asas pendapatan yang lebih besar).
"Untuk CCK Consolidated pula, ia mempunyai 27.2% pegangan dalam Gold Coin Sarawak, pembekal utama kos makanan ternakan, sementara, ia boleh mengalihkan campuran jualan ayam kepada potongan ayam, yang tidak mempunyai siling harga jualan," jelasnya.
Oleh itu, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' bagi QL Resources dan CCK Consolidated dengan harga sasaran masing-masing pada RM5.50 dan 84 sen. - DagangNews.com