Langkah pengembangan kapasiti masih 'menghambat' prospek sektor sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Langkah pengembangan kapasiti masih 'menghambat' prospek sektor sarung tangan getah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Sept - Menyifatkan prospek sektor sarung tangan getah masih malap dengan kebanyakan pengeluar terjejas akibat harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah, tekanan jualan dan margin, mendorong Kenanga Research mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor berkenaan. 

 

Malah, penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon mendapati hasil pembuat sarung tangan getah pada suku kedua 2022 masih lagi rendah dengan ASP dijangka terus menurun, diburukkan lagi oleh penggunaan loji yang rendah dengan purata antara 50 hingga 60%.

 

Katanya, keadaan itu berkemungkinan berlarutan dalam tempoh jangka sederhana di tengah-tengah persaingan yang sengit dalam pasaran sarung tangan getah.

 

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan permintaan lemah seperti yang ditunjukkan oleh kadar penggunaan pemain sarung tangan yang rendah menyebabkan berlakunya lebihan bekalan, memberi tekanan kepada ASP, ditambah pula dengan keengganan pelanggan untuk memberi komitmen kepada pesanan yang besar kerana mereka menjangkakan harga jualan akan terus berkurangan.

 

"Pada suku berkenaan, walaupun ia menyaksikan sedikit peningkatan dengan memenuhi 25% dan 75% unjuran kami dan konsensus, berbanding prestasi yang direkodkan pada suku pertama 2022, tetapi sektor tersebut masih belum menyaksikan tanda-tanda untuk kembali pulih," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Top Glove

 

 

Ini mendorong Kenanga Research menyemak semula unjuran harga sasaran (TP), ASP dan kadar penggunaan bagi kesemua pemain industri di bawah liputannya iaitu Top Glove Corp. Bhd., Supermax Corp. Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. 

 

Firma itu mengurangkan TP Top Glove kepada 65 sen daripada 80 sen sebelum ini dengan pandangan 'underperform' manakala unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dikurangkan sebanyak 11% memandangkan kadar penggunaan dikurangkan daripada 74% kepada 68%.

 

Unjuran untung bersih Hartalega pula 'dipotong' sebanyak 17% dan 13% masing-masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan FY24 memandangkan ASP bagi FY23 dikurangkan kepada AS$22 daripada AS$23 dengan kadar penggunaan lebih rendah pada 65% daripada 70% manakala ASP bagi FY24 dikurangkan kepada AS$20 daripada AS$21 dengan kadar penggunaan lebih rendah pada 65% daripada 72%.

 

Sejajar dengan semakan semula itu, TP Hartalega dikurangkan kepada RM1.68 daripada RM2.90 sesaham sebelum ini dengan pandangan 'market perform'.

 

Sementara itu, untung bersih Kossan Rubber hanya dikurangkan 17% dan 15% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 memandangkan ASP dikurangkan kepada AS$22 daripada AS$23 bagi FY22 manakala bagi FY24, ASP dikurangkan daripada AS$21 kepada AS$20.

 

Kadar penggunaan bagi FY22/FY23 juga dikurangkan kepada 70%/75% daripada 78%/81%. Susulan itu, TP dikurangkan kepada 85 sen daripada RM1.03 sesaham sebelum ini dengan pandangan 'underperform' dikekalkan.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran hasil dan TP Supermax kekal tidak berubah pada 62 sen dengan penarafan 'underperform'.

 

 

hartalega

 

 

Menurut Ping Khoon, ASP dijangka kekal suram pada separuh kedua 2022 ekoran aktiviti pengembangan kapasiti secara besar-besaran oleh pemain industri sedia ada dan baharu ketika tempoh pandemik COVID-19. 

 

Oleh itu, katanya, kapasiti pengeluaran sarung tangan getah global telah dijangka melonjak 22% kepada 511 bilion keping pada tahun ini.

 

"Tetapi disebabkan kebanyakan negara mula mengakhiri fasa pandemik, kami menjangkakan permintaan global sarung tangan getah akan menurun 10% kepada 387 bilion keping (sebahagiannya disebabkan tiada aktiviti simpanan semula dalam rangkaian pengedaran).

 

"Situasi ini akan menyebabkan lebihan bekalan sebanyak 124 bilion keping sarung tangan getah (dengan menganggarkan penggunaan kapasiti adalah maksimum," jelasnya.

 

Beliau menjangkakan kapasiti pengeluaran sarung tangan getah akan melonjak lagi 16% kepada 595 bilion keping pada tahun hadapan memandangkan pelan pengembangan kapasiti yang dirancang ketika tempoh pandemik mula beroperasi.

 

Pada masa sama, tambahnya, permintaan global untuk sarung tangan getah akan meneruskan pertumbuhan organiknya sebanyak 15% setiap tahun, menyebabkan lebihan bekalan meningkat kepada 150 bilion keping.

 

"Berdasarkan anggaran kami, situasi bekalan permintaan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kemasukan kapasiti baharu manakala permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan," jelasnya. - DagangNews.com