Lani Darmawan dilantik terajui CIMB Niaga | DagangNews Skip to main content

Lani Darmawan dilantik terajui CIMB Niaga

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - CIMB Group Holdings Bhd. melantik Lani Darmawan sebagai Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Niaga bagi menggantikan Tigor M. Siahaan yang sedang menjalani tempoh notis.

 

Pelantikan itu akan berkuat kuasa dalam tarikh yang dinyatakan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa CIMB Niaga yang diadakan hari ini. 

 

Ia tertakluk kepada kelulusan daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK) dan atau memenuhi keperluan seperti ditetapkan dalam surat OJK.  

 

Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, sebagai CEO wanita pertama negara dalam CIMB Group, pelantikan Lani membuktikan komitmen kumpulan untuk menggalakkan kepelbagaian dan penyertaan dalam kepimpinan, sejajar dengan agenda kelestarian.

 

Katanya, kepimpinannya yang kukuh ditambah dengan pengalaman industri yang luas, visi strategik dan tumpuan pelanggan secara berterusan akan memperkukuhkan lagi kedudukan CIMB Niaga sebagai francais perbankan terkemuka di Indonesia.

 

"Indonesia ialah pasaran utama bagi CIMB Group, dan CIMB Niaga dalam kedudukan lebih kukuh hari ini hasil daripada pasukan yang telah diketuai dengan cekap oleh Tigor.

 

"Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tigor atas kepimpinannya dan sumbangan bermakna kepada CIMB Niaga. Saya juga mengalu-alukan kedatangan Lani atas peranannya baharunya di sini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Lani telah berkhidmat di CIMB Niaga sejak 2016 dengan jawatan baru-baru ini sebagai CEO bagi Perniagaan Pengguna bank tersebut. 

 

Beliau memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan, serta merupakan peneraju yang terbukti mempunyai rekod yang mantap dalam industri. - DagangNews.com