KUALA LUMPUR 10 Okt - Inisiatif kerajaan melanjutkan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) kepada masyarakat Kumpulan B40 disifatkan akan menyediakan jaringan keselamatan terhadap kerugian kewangan akibat banjir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, banjir yang melanda pada tahun 2021 menyebabkan banyak keluarga terjejas dari segi kewangan, terutamanya mereka daripada kumpulan B40.
Beliau berkata, memandangkan negara terus menghadapi keadaan cuaca yang melampau, memperluaskan PTV untuk memasukkan perlindungan banjir untuk rumah akan membantu mengurangkan kesan sekiranya berlaku banjir.
"Untuk Bajet 2022, kami menyokong Baucar Perlindungan Tenang (PTV) dengan menyediakan perlindungan kepada beberapa ratus ribu penerima PTV dan kami berminat untuk terus menyokong kerajaan atas inisiatif yang baru ditambah ini.
"Tune Protect Malaysia melalui produknya Home Easy, adalah produk perlindungan rumah paling mampu milik di pasaran, yang sudah termasuk perlindungan banjir. Oleh itu, lanjutan itu akan menyediakan jaringan keselamatan terhadap kerugian kewangan akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pembentangan Bajet 2023 Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Baucar Perlindungan Tenang telah memanfaat lebih tiga juta penerima BKM dan akan diteruskan melalui kaedah perkongsian kos.
"Ia turut diperluas kepada pembelian produk perlindungan bencana banjir untuk rumah kediaman," kata beliau.
BACA Bajet 2023 - Skim MySalam kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia diteruskan ke tahun 2023
Sementara itu, mengenai peruntukan RM305 juta untuk belia memulakan perniagaan, Rohit berkata, peruntukan itu memberikan galakan kuat ke arah keusahawanan belia dan ia harus dipuji kerana ia akan membantu menangani pengangguran, memupuk bakat muda dan membawa peluang pertumbuhan baharu kepada ekonomi.
"Salah satu tonggak perniagaan Tune Protect menyasarkan PKS untuk membantu mengurangkan faktor risiko yang datang dengan memiliki perniagaan.
"Untuk mengukuhkan lagi tawaran kami kepada pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan ini dan merapatkan jurang perlindungan, kami akan melancarkan produk baharu yang disasarkan kepada PKS, terutamanya untuk pekerja mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang," ujarnya.
Rohit berkata, pihaknya gembira kerana Kerajaan menumpukan usahanya kepada industri pelancongan untuk menawan pasaran.
"Tune Protect sentiasa bertapak kukuh dalam ruang insurans perjalanan dan kami telah meningkatkan bahagian pasaran kami di Malaysia.
"Kami terus menjadi pemain kritikal dalam industri, dan ini telah menyebabkan kami beralih daripada #18 kepada #5 dari segi Bahagian Pasaran & Kedudukan dalam segmen Pelbagai Kemalangan Peribadi dan Perjalanan pada 2Q22 YoY berdasarkan laporan terkini oleh Perkhidmatan Insurans Malaysia (ISM). Kami yakin usaha mempromosikan Malaysia akan meningkatkan permintaan dalam perlindungan perjalanan," ujarnya.
Rohit juga memuji langkah kerajaan mengecualikan cukai kepada wanita yang kembali bekerja selepas rehat kerjaya untuk pendapatan yang diterima antara 2023 hingga 2028.
"Kami adalah organisasi yang percaya kepada kepelbagaian dalam tenaga kerja dengan mengamalkan kesaksamaan jantina dalam ekosistem. Sejumlah 40% ahli pasukan Kepimpinan Kanan Tune Protect adalah wanita, yang membawa kami lebih dekat untuk mencapai komitmen Kumpulan untuk mempunyai 50% wanita dalam pasukan kepimpinan menjelang 2023," ujarnya.
"Dengan adanya pengumuman sedemikian oleh kerajaan hari ini, kami memuji inisiatif itu kerana kami sendiri menggalakkan lebih ramai wanita dalam peranan kepimpinan. Kami menggalakkan wanita untuk kembali bekerja selepas rehat kerjaya dan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan kerjaya mereka," kata Rohit. - DagangNews.com