Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 2 Jun - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau ‘lockdown’ bagi tempoh dua minggu dijangka memberi kesan yang agak mendalam buat negara terutamanya rakyat.
Susulan itu, kerajaan dicadang untuk melanjutkan pemberian moratorium automatik sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan sekali gus diperluaskan, menjangkaui mereka yang kehilangan pekerjaan atau usahawan ‘gulung tikar’, jelas Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.
Baharom yang merangkap Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) itu turut menekankan bahawa bank-bank di negara ini mempunyai daya tahan yang amat memuaskan, terbukti dengan pengumuman keuntungan mereka pada tahun lepas, mahupun minggu lalu.
“Kita jangan lupa pekerja bawahan yang memperoleh pendapatan tambahan seperti elaun kerja lebih masa, atau syif dan lain-lain lagi, kini mengalami penyusutan pendapatan yang amat drastik, bank-bank harus lebih prihatin.
"Sebuah bank tempatan yang besar (dengan mencatatkan) keuntungan (pada) suku pertama tahun ini, mereka mempunyai daya menyerap dan masih ampuh,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Dalam pengumuman Pemerkasa Plus pada 31 Mei lalu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium automatik selama tiga bulan yang disasarkan buat golongan B40 dan rakyat atau perniagaan yang terkesan akibat 'lockdown'.
Baca : Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion
Mereka juga diberi pilihan untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh enam bulan, sekali gus dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai keseluruhan sehingga RM30 bilion.
Mengambil kira persekitaran pandemik COVID-19 yang masih lagi mencabar, Baharom percaya pelaksanaan moratorium pinjaman ini merupakan langkah paling strategik, namun penstrukturan semula juga boleh dipertimbangkan.
Pandangan sama turut dilontarkan Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, yang melihat terdapat kemungkinan perniagaan dan individu yang terjejas akan mengambil masa lebih lama untuk pulih dari segi pendapatan mereka berbanding tempoh pelaksanaan ‘lockdown’ .
Katanya lagi, moratorium kali ini tidak akan memberi kerugian kepada pihak bank, malah keuntungan mereka tidak akan terjejas dengan ketara.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya golongan yang layak lebih baik memilih moratorium berkenaan termasuk mereka yang sebelum ini memohon untuk moratorium tambahan dan penstrukturan pembayaran.
“Jika ada individu atau peniaga yang baru terjejas pendapatan mereka dan sebelum ini tidak pernah mengambil moratorium, mereka ini juga harus diberi pilihan untuk mengambil moratorium ini.
“Namun saya juga berharap agar mereka turut menguruskan kewangan untuk beberapa bulan akan datang kerana moratorium ini hanya sementara. Jika moratorium berakhir dan mereka masih lagi gagal menguruskan kewangan, maka ini akan menyebabkan mereka kembali mengalami masalah.
“Seeloknya, pada masa sekarang mereka harus berjumpa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memastikan pengurusan kewangan mereka kali ini lebih mampan,” ujar beliau lanjut.
Sebagai rekod, Malaysia dilaporkan menjadi satu-satunya negara yang melaksanakan tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan di seluruh dunia pada tahun lalu, bagi mengurangkan beban rakyat dan perniagaan ketika penularan COVID-19.
Baca : Malaysia satu-satunya negara laksana moratorium
Semasa pelaksanaan moratorium pertama, lebih 7.7 juta rakyat menerima manfaat daripadanya termasuk lebih 243,000 perniagaan daripada peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). - DagangNews.com