Lantikan ini bukan keistimewaan, sebaliknya amanah - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Lantikan ini bukan keistimewaan, sebaliknya amanah - Ismail Sabri

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - “Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika kita menghadapi pandemik COVID-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

 

Itu reaksi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri di negara ini. 

 

Beliau menyifatkan lantikan itu satu amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara. 

 

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan ini. 

 

“Saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas pelantikan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. 

 

“Pada masa yang sama, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebelum itu,  Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Muhyiddin telah Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.

 

Baca : Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 

 

Pelantikan itu akan membantu Muhyiddin untuk menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat ketika Malaysia sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

 

“Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin parti politik dan seluruh rakyat Malaysia. 

 

“Doa saya semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” tambah Ismail Sabri lagi. - DagangNews.com