KUALA LUMPUR 30 Dis - Serba Dinamik Holdings Bhd. menjelaskan artikel yang diterbitkan Free Malaysia Today (FMT) semalam adalah tidak tepat.
Semalam, portal tersebut mengeluarkan artikel berhubung bertajuk 'Serba Dinamik CEO charged over alleged false statement on company affairs'.
Menurut laporan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah akan menyertai ekspo perdagangan itu bulan depan untuk menarik pelabur, yang mana Serba Dinamik dan Petronas akan membawa masuk pelaburan berjumlah RM33.9 bilion.
Susulan itu, Petronas menafikan sebarang kerjasama dengan Serba Dinamik Holdings Bhd untuk menarik pelabur bagi projek di Ekspo 2020 Dubai.
Serba Dinamik dalam kenyataan hari ini berkata, dalam kenyataan dikeluarkan Muhammad Sahafee itu, jelas menunjukkan bahawa Abdul Karim komited untuk menghadiri Ekspo Dubai 2020 mewakili Serba Dinamik semasa Ekspo Hari Malaysia yang dijadualkan pada 8 Januari 2022.
"Serba Dinamik ingin menjelaskan kenyataan FMT bahawa Serba Dinamik adalah penaja utama bagi Hari Malaysia di Ekspo Dubai 2020.
"Muhammad Shafee juga tidak pernah menyebut bahawa Serba Dinamik bekerjasama dengan Petronas pada ekspo tersebut.
"Apa yang dinyatakan adalah Serba Dinamik merupakan penaja acara tersebut sama seperti Petronas, sebagai cara untuk menekankan betapa pentingnya acara itu kepada Mahkamah Sesyen," jelasnya.
Abdul Karim didakwa di Mahkamah Sesyen semalam berhubung kenyataan palsu yang diberikan oleh Serba Dinamik kepada Bursa Malaysia.
Laporan itu berkata, Abdul Karim dijadualkan memberi ucapan di ekspo itu minggu depan.
Ekspo Dubai 2020 adalah pameran global yang akan dihadiri 192 buah negara dan organisasi. Ia bermula pada 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
Ekspo 2020 telah menarik RM33.9 bilion pelaburan ke Malaysia seperti dipetik oleh The Edge dalam artikelnya bertarikh 4 Disember 2021. - DagangNews.com