Laporan Ketua Audit Negara: Kerugian RM681.71 juta dana awam dicatatkan daripada 6 program persekutuan | DagangNews Skip to main content

Laporan Ketua Audit Negara: Kerugian RM681.71 juta dana awam dicatatkan daripada 6 program persekutuan

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kerugian sebanyak RM681.71 juta daripada dana awam dicatatkan daripada enam program melibatkan aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan serta badan berkanun seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022.

 

Program pengurusan tanaman padi mendahului senarai kerugian sebanyak RM660.14 juta diikuti pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada) sebanyak RM14.33 juta.

 

Kerugian itu turut melibatkan dana sebanyak RM6.34 juta melibatkan pengurusan dan pengawalseliaan senjata api dan agen di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin sebanyak RM490,000 diikuti program promosi pelaburan bagi sektor pembuatan sebanyak RM290,000 dan pengurusan program bandar selamat sebanyak RM120,000.

 

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, kerugian itu termasuk pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan bekalan dan penghantaran baja, pengagihan subsidi dan insentif yang tidak optimum kepada sawah padi.

 

"Ia juga melibatkan kegagalan mengutip hasil pajakan tanah, dan perolehan sebagai ganti melupuskan senjata api yang tidak dibekalkan sepenuhnya," katanya.

 

audit
Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi

 

Laporan itu turut mendedahkan pembaziran berjumlah RM21.35 juta, melibatkan sistem pengurusan bersepadu pekerja asing (ePPAx) dan sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS), pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan program memperkukuh keupayaan serta daya saing industri pembinaan.

 

Beberapa kes yang diketengahkan melibatkan penggunaan sistem ePPAx yang tidak optimum, dengan 11 daripada 14 modul sistem tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.

 

Projek pangkalan data yang disiapkan pada 2020 tidak dapat digunakan, dan peralatan latihan (ACMV Industrial) yang diterima pada 2018 tidak digunakan, seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.

 

Selain itu, dua kes pembayaran tidak tetap bernilai RM1.52 juta juga dikenal pasti, melibatkan pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan kapasiti, keupayaan dan daya saing program industri pembinaan, mengakibatkan perbelanjaan di luar skop kelulusan program dan tajaan yang dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.

 

Bagi Laporan Ktua Audit Negara 2022, sebanyak 16 audit prestasi bernilai RM208.882 bilion telah dijalankan di 14 kementerian. 

 

Hasil daripada audit tersebut, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor bagi dilaksanakan oleh kementerian, jabatan atau agensi berkaitan. - DagangNews.com