Laporan Ketua Audit syor LTAT tingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan | DagangNews Skip to main content

Laporan Ketua Audit syor LTAT tingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Mac - Penjejasan nilai pelaburan dan pembayaran dividen kepada pencarum menjadi perkara yang dibangkitkan terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.

 

Menurut laporan itu, LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion, iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion. 

 

"Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion," kata laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menerusi laporan itu juga mendedahkan rizab LTAT berbaki negatif RM0.338 bilion pada tahun 2022.

 

"LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: LTAT patuhi keputusan Kementerian Kewangan mengenai bayaran caruman kerajaan

 

ltat

 

 

Kata Laporan Ketua Audit Negara itu, pada tahun 2022, pendapatan LTAT berjumlah RM0.653 bilion dengan peningkatan sejumlah RM0.139 bilion atau 27.0% (2021: RM0.514 bilion). 

 

Katanya, untung bersih LTAT turut meningkat berjumlah RM0.050 bilion (13.1%), daripada RM0.383 bilion pada tahun 2021 kepada RM0.433 bilion pada tahun 2022.

 

"LTAT telah membuat pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum sejumlah RM0.476 bilion (5%) dengan menggunakan untung bersih dan keuntungan terkumpul," ujarnya.

 

AUDIT
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di bangunan Parlimen hari ini./Gambar FB JAN

 

Berhubung penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari, LKAN 2022 menunjukkan pada tahun 2022, pelaburan LTAT dalam 13 syarikat subsidiari adalah berjumlah RM5.288 bilion, termasuk dalam jumlah tersebut adalah kos pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad berjumlah RM2.550 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.106 bilion.

 

"LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad dan Pharmaniaga Berhad masing-masing berjumlah RM0.768 bilion dan RM0.044 bilion menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan Ketua Audit: Felda, PR1MA diberi syor susulan hutang tinggi, terlalu bergantung kepada kerajaan

 

Mengenai pembayaran dividen kepada pencarum, LKAN 22 menejelaskan pada tahun 2022, LTAT telah menjual saham Perumahan Kinrara Berhad dan Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. bernilai RM0.043 bilion kepada Perbadanan Perwira Harta Sdn. Bhd. (PPHSB) dengan balasan saham PPHSB yangbernilai RM0.232 bilion.

 

"LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022," katanya.

 

Justeru, Jabatan Audit Negara mengesyorkan LTAT untuk menyemak dan menstruktur semula strategi pelaburan dengan mempelbagaikan pelaburan dan tidak menumpukan pelaburan dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta kebergantungan pendapatan.

 

LTAT juga disyorkan mempertingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dengan menambah baik polisi pelaburan supaya saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat ditangani.

 

Selain itu, LTAT juga disyorkan memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum yang layak pada masa hadapan.- DagangNews.com