Laporan Ketua Audit: Felda, PR1MA diberi syor susulan hutang tinggi, terlalu bergantung kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Laporan Ketua Audit: Felda, PR1MA diberi syor susulan hutang tinggi, terlalu bergantung kepada kerajaan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mac - Felda dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menghadapi isu usaha berterusan berdasarkan tahap keberhutangan dan kebergantungan kedua-dua agensi itu kepada bantuan kerajaan, sama ada dalam bentuk geran, pinjaman atau jaminan.

 

Perkara ini terkandung dalam Fokus Utama, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Selain Felda dan PR1MA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut terkandung dalam fokus utama audit dengan lembaga itu berkaitan penjejasan nilai pelaburan dalam dua syarikat subsidiari dan pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai kepada pencarum.

 

Sehubungan itu, semakan dalam laporan penuh itu menunjukkan Pihak Audit mengesyorkan Felda untuk menentukan hala tuju yang jelas supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan yang tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan Kerajaan Persekutuan.

 

Agensi Persekutuan itu juga diminta meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiari bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan dan terus berdaya maju tanpa kebergantungan kepada agensi induk seterusnya berupaya untuk memberi pulangan yang baik kepada Felda.

 

 

feld

 

 

"Pada tahun 2022, Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion (2021: RM0.545 bilion). Baki pinjaman daripada institusi luar Felda adalah berjumlah RM8.659 bilion (2021: RM8.809 bilion).

 

"Pada tahun 2022, Felda telah menerima geran sejumlah RM0.214 bilion (2021: RM0.342 bilion). Pengurangan geran yang diterima oleh Felda menjejaskan kelangsungan operasi kerana Felda banyak bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan," kata laporan itu yang boleh dibaca di https://lkan.audit.gov.my/laporan/previews/2086?document=2219 .

 

Bagi LTAT pula, laporan tersebut mengesyorkan lembaga itu untuk menyemak dan menstruktur semula strategi pelaburan dengan mempelbagaikan pelaburan dan tidak menumpukan pelaburan dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta kebergantungan pendapatan.

 

Turut disyorkan mempertingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dengan menambah baik polisi pelaburan supaya saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat ditangani dan memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum yang layak pada masa hadapan.

 

ltat lkan

 

 

"Pada tahun 2022, LTAT telah menjual saham Perumahan Kinrara Berhad dan Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. bernilai RM0.043 bilion kepada Perbadanan Perwira Harta Sdn. Bhd. (PPHSB) dengan balasan saham PPHSB yang bernilai RM0.232 bilion.

 

"LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022," jelasnya.

 

Laporan itu juga mengesyorkan PR1MA untuk menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial berdasarkan keperluan dan pasaran semasa bagi memastikan kebolehpasaran penjualan unit rumah dan komersial yang telah siap serta mencapai objektif pembangunan projek PR1MA.

 

"PR1MA juga disyor memastikan unjuran aliran tunai daripada hasil penjualan unit rumah dan komersial boleh dicapai bagi membiayai aktiviti operasi dan pelunasan pembayaran Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.75 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024," katanya.

 

Sementara itu, dalam kenyataan media, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata LKAN Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan 16 syor kepada Agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

 

Katanya, syor itu antaranya Ketua Agensi Persekutuan hendaklah mengemukakan Penyata Kewangan untuk diaudit mengikut tempoh ditetapkan dan memastikan geran dibelanjakan mengikut tujuan dalam tempoh ditetapkan.

 

kan
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi

 

"Pinjaman yang dibuat oleh Agensi Persekutuan perlu dijelaskan mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan supaya tidak membebankan Kerajaan Persekutuan yang perlu menanggung kos kewangan melebihi tempoh sepatutnya.

 

"Selain itu mengkaji semula penubuhan syarikat subsidiari yang dorman, mengalami kerugian, dan tidak memberi pulangan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Wan Suraya berkata setakat 11 Januari lalu, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2022 telah dikemukakan untuk pengesahan dan daripada jumlah itu, 130 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan itu telah selesai pensijilan manakala empat agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah.

 

Katanya, sebanyak 116 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran.

 

"Seterusnya, 14 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan telah diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai, iaitu 13 Pendapat Berteguran dan satu Pendapat Bertentangan," katanya.

 

Wan Suraya turut memaklumkan Agensi Persekutuan yang lemah dari segi penyediaan penyata kewangan juga diberi perhatian dalam LKAN kali ini terutama yang mendapat Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubahsuai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut, iaitu dari 2020 hingga 2022.

 

"Antara lain, agensi-agensi ini tidak mematuhi piawaian perakaunan, penyelenggaraan rekod kewangan yang lemah dan mempunyai masalah sistem kewangan," jelasnya.

 

lkan

 

Berhubung Analisis Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, Wan Suraya berkata ,daripada 130 penyata kewangan beraudit, perhatian khusus perlu diberi dengan 80 Agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion dan 50 Agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.570 bilion.

 

Katanya, sebanyak 126 Agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat Agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.

 

"Lapan puluh enam Agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83 Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion.

 

"Sepuluh Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion. Sebanyak empat daripada 10 agensi itu mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlahRM5.338 bilion manakala tiga daripada empat Agensi Persekutuan berkenaan telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman," katanya.

 

LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 dimuat naik di laman sesawang Jabatan Audit Negara di pautan https://lkan.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

 

Buat julung-julung kalinya juga, jenis Sijil Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 dimuat naik melalui Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara di pautan https://agdashboard.audit.gov.my/.- DagangNews.com