Larangan ke atas vape bertentangan dengan keputusan Kabinet pada 2015 | DagangNews Skip to main content

Larangan ke atas vape bertentangan dengan keputusan Kabinet pada 2015

Pada 2015, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa vape tidak akan dilarang kerana potensi industri vape tempatan di Malaysia untuk bersaing di peringkat global.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Julai – Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon Kerajaan untuk mengkaji semula dasar larangan menjual rokok dan vape kepada mereka yang lahir selepas 2005 kerana setiap langkah drastik yang diambil akan membawa kepada satu masalah yang lain.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, dalam hal ini dasar seperti itu hanya akan mengakibatkan pengguna pada masa akan datang mencari produk yang tidak terkawal.

 

“MVIA juga memohon Kerajaan menerima pendapat dan bukti saintifik mengenai vape yang kurang risiko berbanding rokok dan mampu menurunkan kadar merokok negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Baru-baru ini, media telah melaporkan bahawa rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau dan merokok telah diluluskan Kabinet dan ia turut menyenaraikan vape untuk dilarang dijual pada masa depan.

 

Rizani berkata, pelaksanaan ini akan memberi kesan kepada industri vape secara menyeluruh kerana Malaysia mempunyai ekosistem industri yang lengkap iaitu dari pembekal, pengilang, peruncit dan pengguna.

 

Kerajaan kata beliau, seharusnya mengambil kira potensi industri vape di Malaysia dan juga kesan kepada industri tempatan dengan polisi ini.

 

Sebelum ini ujarnya, Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak melarang industri vape pada tahun 2015 dan sebaliknya kawal selia akan diperkenalkan untuk industri vape tempatan.

 

“Pada masa itu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa vape tidak akan dilarang kerana potensi industri vape tempatan di Malaysia untuk bersaing di peringkat global.

 

“Tetapi langkah drastik ini menunjukkan Kerajaan membuat ‘U-turn’ dengan melarang industri vape untuk beroperasi pada masa akan datang,’’ katanya.

 

Rizani berkata, selama ini industri telah berjuang untuk Kerajaan memperkenalkan undang-undang serta peraturan untuk mengawal industri vape.

 

 

Rizani Zakaria
                              Rizani Zakaria

 

 

Sementara itu, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan untuk mengharamkan industri vape.

 

Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli berkata, sejak 2015, industri vape telah memperjuangkan agar industri ini diiktiraf sebagai industri yang sah.

 

Dan minggu ini, media melaporkan Kerajaan telah memutuskan bahawa Kabinet bersetuju untuk membentangkan akta yang akan mengharamkan industri vape pada masa depan dengan polisi melarang penggunaan vape untuk sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.

 

Ini bermakna individu yang dilahirkan selepas 2005 dan mencapai umur dewasa dalam 10 tahun akan datang akan menjadi penjenayah kerana memiliki dan menggunakan produk vape.

 

Polisi ini ibarat menyamakan vape seperti dadah dan ini adalah mesej yang sangat salah. Ia juga secara tidak langsung menggalakkan pasaran gelap kerana pemintaan terhadap produk sangat tinggi namun tiada penawaran di pasaran sah. Pengguna akan mencuba pelbagai cara untuk mencari bekalan manakala pembekal (penyeludup) akan mencari jalan untuk menyediakan bekalan melalui pasaran gelap.

 

Tambahan pula, Kementerian Kesihatan masih tidak memberikan kata putus berkenaan peraturan-peraturan vape untuk diperkenalkan dan tidak melibatkan industri dalam perbincangan untuk kawal selia industri vape.

Ridhwan Rosli
                          Ridhwan Rosli

 

 

Keputusan ini akan memberikan kesan yang besar kepada industri tempatan yang bernilai RM2.27 bilion. Malah ia akan menjejaskan lebih daripada 3,000 perniagaan tempatan di Malaysia dan memberikan mesej yang salah kepada pelabur asing.

 

DPVM menyeru agar Kerajaan mengkaji semula keputusan ini dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada industri vape. - DagangNews.com