Latihan Kelawar uji kecekapan fleet helikopter EC725 Pasukan Khas Udara TUDM | DagangNews Skip to main content

Latihan Kelawar uji kecekapan fleet helikopter EC725 Pasukan Khas Udara TUDM

Latihan melibatkan kru helikopter EC 725 AP dan PASKAU pada kemampuan beroperasi secara bersama.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 31 Julai  - Kecekapan fleet helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diuji menerusi Latihan Kelawar Siri 14/23 yang dilaksanakan dengan jayanya oleh Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2).

 

Latihan melibatkan helikopter EC 725 AP dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) yang memberi fokus pada kemampuan beroperasi secara bersama. 

 

Sebanyak tiga buah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron dan No 10 Skuadron serta 138 pegawai dan anggota terlibat serta aset sokongan dari pasukan sahabat di Tawau, Semporna dan Pulau Pandanan.

 

Turut membantu semasa latihan ialah Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
 

 

Sebuah helikopter EC725 AP semasa terlibat dalam Latihan Kelawar di Sabah.
Sebuah helikopter EC725 AP semasa terlibat dalam Latihan Kelawar di Sabah.


 

Latihan ini telah dilaksanakan melibatkan beberapa kawasan di Sabah iaitu Tawau, Semporna dan Lahad Datu melibatkan Pusat Bantuan Operasi TUDM.

 

Objektif lain yang turut dicapai adalah membantu meningkatkan kompetensi anak-anak kapal dan anggota PASKAU dari segi kecekapan, perancangan dan pengurusan latihan.

 

Ini termasuklah pentadbiran domestik, kejuruteraan, pengurusan materiel dan bekalan logistik serta pengurusan ruang udara. 

 

Objektif terakhir berjaya dicapai dalam latihan ini adalah penilaian fasa pertama WIRA HELO bagi Pertandingan Jaguh 2023 melibatkan elemen Fleet Helikopter. 


 

Kru

 

Latihan Kelawar melibatkan penilaian dalam penerbangan mencari dan menyelamat di perairan.
Latihan Kelawar melibatkan penilaian dalam penerbangan mencari dan menyelamat di perairan. 


 

Pertandingan ini telah melibatkan anak kapal dan pasukan kejuruteraan. 

 

Penilaian dan pemarkahan bagi pertandingan ini melibatkan penilaian dalam penerbangan mencari dan menyelamat (SAR) di perairan. 

 

Ini termasuk penerbangan taktikal melibatkan pelaksanaan dalam operasi Insertion & Extraction (HIE) yang membolehkan PASKAU untuk menyusup masuk dan keluar dari kawasan operasi.

 

Secara keseluruhannya, latihan turut membuka jalinan kerjasama antara TUDM dan pelbagai pihak demi mencapai matlamat yang sama iaitu untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.
 

 

Helikopter


 

TUDM ketika ini mengoperasikan 12 buah helikopter EC725 yang dibeli pada tahun 2008 susulan tragedi helikopter Sikorsky S-61A Nuri di Genting Sempah sebelum itu.

 

Bagaimana pun, perolehan itu bukan untuk menggantikan keseluruhan pesawat Nuri.

 

Justeru, terdapat rancangan untuk mendapatkan 24 buah lagi helikopter jenis ini bagi menggantikan Nuri pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dan Rancangan Malaysia Ke-14 (2031-2035). - DagangNews.com