Lawatan Panglima Tentera Udara India ke Malaysia kukuhkan kerjasama pertahanan TUDM dan IAF | DagangNews Skip to main content

Lawatan Panglima Tentera Udara India ke Malaysia kukuhkan kerjasama pertahanan TUDM dan IAF

Marshal VR Chaudhari memeriksa kawalan kehormatan semasa melawat ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 6 Julai - Hubungan akrab dalam kerjasama pertahanan Malaysia-India diterjemahkan apabila Panglima Tentera Udara India, Marshal VR Chaudhari melakukan lawatan kerja rasmi ke negara ini.

 

Ini merupakan lawatan ulung beliau ke Malaysia khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) setelah dilantik ke jawatan tersebut pada September 2021.

 

Lawatan beliau bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini.

 

Chaudhari yang merupakan juruterbang pesawat tempur serta jurulatih berpengalaman pernah menerbangkan pesawat seperti MiG-21, MiG-23 MF, MiG 29 dan Sukhoi Su-30 MKI.

 

 

Beliau turut diiringi isteri, Neeta Chaudhari bagi program melibatkan lawatan yang diatur oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera.

 

Mohd Asghar Khan semasa menyambut ketibaan Marshal VR Chaudhari di Wisma Pertahanan.
Mohd Asghar Khan semasa menyambut ketibaan Marshal VR Chaudhari di Wisma Pertahanan.

 

India yang mempunyai angkatan udara ketiga terbesar di dunia dengan kira-kira 1,700 pesawat juga menguasai teknologi pertahanan aras tinggi setanding negara barat.

 

Keupayaan India dalam konteks angkatan udara juga diukur berdasarkan pengalaman negara itu terbabit dalam operasi udara sebenar.

 

Justeru, lawatan kerja rasmi ini mengeratkan hubungan TUDM dan Tentera Udara India (IAF) serta kerjasama strategik pertahanan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

Chaudhari memulakan lawatan rasmi dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Wisma Pertahanan.

 

Pertemuan kepimpinan TUDM dan IAF mengeratkan hubungan kerjasama dan diplomasi pertahanan.
Pertemuan kepimpinan TUDM dan IAF mengeratkan lagi hubungan dan diplomasi pertahanan kedua-dua pihak.

 

Kedua-kedua pemimpin turut berbincang mengenai kerjasama strategik antara dua angkatan udara selain mengeratkan hubungan kerjasama dan diplomasi pertahanan.

 

Mereka saling berkongsi pandangan dan berharap hubungan bilateral ini terus terjalin demi kestabilan dan keamanan serantau.

 

Pada Februari lalu, Mohd Asghar telah mengadakan lawatan ke India termasuk menghadiri pertunjukan Aero India serta mengunjungi rakan sejawatnya itu.

 

Semasa di India, Panglima Tentera Udara juga telah meninjau fasiliti pemasangan pesawat tempur ringan (LCA), buatan India, HAL Tejas.

 

Walaupun Tejas tidak dipilih sebagai pesawat LCA negara, namun India masih melihat Malaysia sebagai antara negara sahabat yang berpotensi untuk ditawarkan lain-lain produk pertahanan.

 

Chaudhari semasa mengadakan lawatan ke Institut Perubatan Penerbangan di Pangkalan Udara Subang.
Chaudhari semasa mengadakan lawatan ke Institut Perubatan Penerbangan di Pangkalan Udara Subang.

 

Chaudhari diberi taklimat pengoperasian simulator pesawat pejuang.
Chaudhari diberi taklimat pengoperasian simulator pesawat pejuang. 

 

Dalam rangka lawatan ke sini, Chaudhari juga telah dibawa melawat beberapa pangkalan udara dan kemudahan latihan TUDM.

 

Beliau telah melawat ke Pangkalan Udara Gong Kedak diiringi Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail.

 

Dalam kunjungan tersebut beliau dibawa melawat bangunan simulator dan dipersembahkan dengan taklimat pengoperasian simulator pesawat pejuang. 

 

Beliau turut diberikan taklimat ringkas pengoperasian pesawat Sukhoi Su-30MKM. 

 

TUDM pernah berkolaborasi bersama jurulatih dan juruteknik dari IAF sewaktu awal pengoperasian pesawat Sukhoi Su-30MKM dari segi perkongsian pengalaman dan kemahiran. 

 

Pegawai Paskau memberikan penerangan tentang kelengkapan yang dimiliki pasukan tersebut.
Pegawai Paskau memberikan penerangan tentang kelengkapan yang digunakan pasukan tersebut.

 

India mengoperasikan kira-kira 280 buah pesawat Sukhoi Su-30MKI dengan 220 pesawat dipasang oleh firma pertahanan negara itu, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

 

Negara itu juga sedang membangunkan program menaik taraf pesawat berkenaan kepada versi Super Sukhoi menerusi kerjasama dengan Rusia.

 

Pada Ogos tahun lalu, TUDM dan IAF menjayakan latihan bersama, Eksesais Udara Shakti 2022 membabitkan pesawat Sukhoi.

 

TUDM dijangka akan terus menggunakan pesawat Sukhoi SU-30MKM sehingga tahun 2040 yang bermakna pesawat-pesawat tersebut akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan.

 

TUDM dan IAF semasa terlibat dalam Eksesais Udara Shakti 2022 tahun lalu.
TUDM dan IAF semasa terlibat dalam Eksesais Udara Shakti tahun lalu. 

 

Turut dilawati beliau ialah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) dan Pangkalan Udara Jugra yang menempatkan Pasukan Khas Udara TUDM (Paskau).

 

Semasa di sana, Chaudhari menyaksikan demonstrasi Airborne Tactical Extraction Platform (AIRTEP) oleh Paskau menggunakan pesawat EC 725AP. 

 

Beliau turut melihat pameran persenjataan dan peralatan-peralatan yang digunakan oleh Paskau dalam melaksanakan pelbagai operasi. - DagangNews.com