Lawatan PM China dijangka bawa lebih banyak FDI, perjanjian perdagangan dan projek pembinaan baharu - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Lawatan PM China dijangka bawa lebih banyak FDI, perjanjian perdagangan dan projek pembinaan baharu - Maybank IB

Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari. - Gambar/Bernama.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan lawatan kerja Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia serta sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara akan membawa lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), perjanjian perdagangan selain projek pembinaan baharu.

 

Katanya, FDI dari China ke Malaysia adalah sangat menarik kerana Greater China (tanah besar China dan Hong Kong) merupakan sumber FDI kedua terbesar pada 2023 untuk Malaysia selepas Singapura.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari 2010 hingga 2023, FDI dari China ke Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 24%.

 

"Berikutan lawatan bekas Perdana Menteri China, Li Keqiang ke Malaysia pada November 2015, FDI dari China ke Malaysia melonjak pada 2016 dan 2017.

 

"FDI terbesar dari China ke Malaysia adalah dalam industri mineral bukan logam, logam asas, elektrik & elektronik, keluli dan solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, sejak 2009, China telah menjadi rakan perdagangan dua hala terbesar Malaysia (iaitu eksport dan import).

 

Dari 2010 hingga 2023, eksport Malaysia ke China meningkat pada CAGR sebanyak 7% dan pada 2023, China merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia (13% daripada jumlah eksport) selepas Singapura.

 

"Jika termasuk Hong Kong, Greater China (tanah besar China dan Hong Kong) adalah destinasi eksport terbesar Malaysia pada 2023 (20% daripada jumlah eksport).

 

"Eksport utama Malaysia ke China ialah produk elektrik & elektronik, minyak sawit & produk pertanian berasaskan minyak sawit, dan produk besi dan keluli," katanya,

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa gelombang positif itu akan menjadi lebih daripada sekadar FDI dan projek pembinaan utama.

 

Katanya, pilihan utama mereka dalam sektor itu ialah MyEG Services Bhd (MYEG) didorong pelancaran platform kemudahan perdagangan rentas sempadan ZTrade, EP Manufacturing Bhd, Eco World Development Bhd, Dialog Group Bhd, dan AirAsia X Bhd. - DagangNews.com