LBS Bina beli dua tanah berkeluasan 125 hektar di Bentong bernilai RM97.8 juta | DagangNews Skip to main content

LBS Bina beli dua tanah berkeluasan 125 hektar di Bentong bernilai RM97.8 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - LBS Bina Group Berhad (LBS) menerusi anak syarikatnya, Casa Inspirasi Sdn. Bhd. mengumumkan pembelian dua lot tanah berkeluasan 125 hektar di Bentong daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.

 

Casa Inspirasi sudah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) tanah bertatus pajakan 99 tahun bersama pihak perbadanan pada 22 Julai 2022 dengan nilai RM97.8 juta.

 

Tanah berkenaan terletak di lokasi yang strategik berhampiran Genting Highlands, Genting Premium Outlet, Awana Genting Golf Course dan Gohtong Jaya.

 

Tanah yang dizonkan di bawah penggunaan pembangunan kediaman, pelancongan dan komersial itu adalah berhampiran dengan pangsapuri perkhidmatan LBS Midhills dan SCAPES Hotel.

 

"Berdasarkan kepada perancangan awal, LBS berhasrat untuk membangunkan tanah tersebut menjadi kawasan pembangunan bercampur yang dilengkapi pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo, unit komersial, kawasan pelancongan, sekolah dan hospital.

 

"Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk pembangunan bercampur dianggarkan melebihi RM9 bilion yang akan dibiayai melalui dana jana dalaman dan/atau pinjaman bank," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Cadangan pembelian tanah di kawasan berhampiran Genting Highlands itu merupakan usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan perniagaannya. 

 

Berdasarkan lokasinya yang strategik dan kawasan tumpuan pelancong dengan kehadiran pengunjung yang tinggi cadangan pembangunan dijangka menerima permintaan yang positif.

 

"Cadangan pembangunan bercampur itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya. - DagangNews.com