LBS Bina catat untung bersih 9% lebih tinggi sebanyak RM140 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

LBS Bina catat untung bersih 9% lebih tinggi sebanyak RM140 juta pada FY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - LBS Bina mencatat keuntungan bersih RM140 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23), 9% lebih tinggi daripada RM128.5 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pembinaan dan hartanah itu turut meningkat sebanyak 6% kepada RM1.8 bilion pada FY23 berbanding RM1.7 bilion sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula naik kepada 7.7 sen daripada 6.87 sen, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Keuntungan bersih kumpulan terutamanya didorong segmen pembinaan dan perdagangan yang mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) RM35.78 juta bagi FY23, melonjak hampir tiga kali ganda daripada RM12.98 juta yang dicapai dalam tahun kewangan 2022 (FY22) manakala pendapatan segmen meningkat 45% kepada RM856.7 juta daripada RM589 juta sebelumnya.

 

“Pendapatan dan PAT disumbangkan terutamanya daripada projek dalaman. Peningkatan itu dipacu oleh peningkatan dalam kemajuan aktiviti pembinaan dan pengoptimuman kos,” jelasnya.

 

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.75 bilion berbanding pendapatan RM1.65 bilion sebelumnya, manakala PAT berjumlah RM151 juta, lebih rendah daripada RM164 juta pada FY22 disebabkan perbelanjaan pentadbiran dan operasi yang lebih tinggi.

 

Menurut kumpulan itu, pendapatan dan PAT segmen tersebut kebanyakannya diperoleh daripada projek pembangunan utama di KITA @ Cybersouth, projek Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, projek Idaman dan Prestige Residence.

 

LBS Bina berkata, bank tanah kumpulan setakat 31 Disember 2023 adalah kira-kira 1119.8 hektar, memastikan rizab strategik untuk 10 hingga 15 tahun akan datang. 

 

“Jualan belum dibil berjumlah RM2 bilion memberikan prospek pendapatan yang jelas dan kukuh untuk dua hingga tiga tahun akan datang. Selain itu, penyerahan unit kepada pemilih rumah untuk FY23 melonjak 65%, mencecah 4,872 unit dengan nilai bersamaan RM2.4 bilion,” katanya sambil menambah ia kini terlibat dalam 19 projek yang sedang dijalankan. 

 

Menjelang FY24, sasarannya adalah untuk melancarkan 10 projek baharu yang ditetapkan untuk menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan berjumlah RM2.33 bilion, yang mana RM1.14 bilion daripada jumlah itu melibatkan pelancaran 2,960 unit pada FY24 di Lembah Klang.

 

“Permintaan yang berterusan untuk rumah mampu milik dalam pasaran hartanah terus menekankan komitmen kumpulan yang tidak berbelah bahagi untuk menangani keperluan ini. Kami akan terus menyediakan perumahan dalam segmen ini untuk negara. 

 

“Matlamat kami untuk FY24 adalah untuk mencapai RM1.8 bilion jualan hartanah. Sasaran ini akan disokong oleh pelbagai pembangunan dengan GDV berjumlah RM3.51 bilion di seluruh lokasi strategik, termasuk Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak,” tambahnya.  - DagangNews.com