LBS Bina terbit sukuk wakalah pertama bernilai RM200 juta | DagangNews Skip to main content

LBS Bina terbit sukuk wakalah pertama bernilai RM200 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - LBS Bina Group Berhad telah menerbitkan sukuk wakalah kelestarian pertama bernilai RM200 juta di bawah program sukuk wakalah RM750 juta.

 

Syarikat hartanah itu berkata peringkat pertama Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN tersebut dinilai berdasarkan kadar hasil 5% dengan kadar pengagihan berkala sebanyak 5% setahun.

 

Sukuk kelestarian ini dijamin dan mempunyai tempoh lima tahun dari tarikh terbitan, matang pada 23 Januari 2029, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Hasil yang diperoleh daripada sukuk pertama ini diperuntukkan bagi membiayai atau membiayai semula projek sosial dan hijau berkelayakan seperti yang termaktub dalam Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian LBS.

 

LBS Bina berkata buku pesanan untuk peringkat pertama ini berjumlah kira-kira RM1.28 bilion, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 6.38 kali.

 

MARC Ratings telah menilai program sukuk wakalah LBS Bina ini dengan penarafan AA-IS dengan tinjauan stabil.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San menegaskan bahawa kumpulan itu komited untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti dengan mewujudkan persekitaran kehidupan, kerja dan rekreasi yang mampan.

 

 

Tan Sri Ir Dr Lim Hock San
Tan Sri Ir Dr Lim Hock San

 

 

“Selaras dengan Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian syarikat, sukuk berkenaan akan menyediakan dana mencukupi untuk terus melaksanakan projek sosial yang bertumpukan kelestarian sebagai hala tuju kepada kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Beliau menambah bahawa ia akan membina lebih banyak rumah mampu milik memandangkan permintaan yang semakin meningkat di Lembah Klang dan bahagian lain di negara ini, sekali gus memudahkan dan menggalakkan pemilikan rumah, yang akan membantu meningkatkan pasaran hartanah Malaysia.

 

“Pembinaan rumah kediaman mampu milik juga akan meningkatkan nilai sosial projek pembangunan LBS Bina, menggalakkan keterangkuman sosial sambil bertindak sebagai pemangkin untuk penjanaan semula dan perpaduan masyarakat,” ujar Lim.

 

HSBC Amanah Malaysia Berhad dan RHB Investment Bank Berhad adalah penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama program sukuk wakalah ini.

 

HSBC Amanah juga merupakan penyelaras penstrukturan kelestarian dan penasihat syariah program.

 

Selain itu, HSBC Amanah, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment adalah pengurus utama bersama untuk penerbitan sukuk peringkat pertama ini.

 

Pada pukul 3:31 petang ini, saham LBS Bina telah naik 1 sen atau 1.6% kepada 64.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.01 bilion.  - DagangNews.com