LCS: Menteri Pertahanan tuntut RM180 juta daripada Boustead Naval Shipyard | DagangNews Skip to main content

LCS: Menteri Pertahanan tuntut RM180 juta daripada Boustead Naval Shipyard

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Hasil daripada siasatan isu kelewatan pembekalan kapal tempur pesisir pantai (LCS) daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) telah membawa kepada pengeluaran Notis Tuntutan Liquidated and Ascertained Damages (LAD) oleh Menteri Pertahanan. 

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, notis LAD itu menuntut bayaran RM180 juta, di mana sebanyak RM80.6 juta telah berjaya dipungut secara set-off  pada Oktober 2020.

 

“Pihak Kementerian telah melaksanakan siasatan melalui semakan ke atas klausa kontrak berkaitan isu kelewatan yang telah dialami dalam perolehan LCS ini.  

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

"Bagi isu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula; pihak SPRM kini sedang menjalankan siasatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

 

Sebelum ini, Senator Liew Chin Tong bertanyakan tentang siasatan yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pertahanan, isu laporan kepada SPRM dan audit forensik yang telah dijalankan ke atas BNS.

 

Menurut Bernama, pada 2014, kerajaan menganugerahkan kontrak pembinaan enam LCS  untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9.128 bilion kepada BNS.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM6 bilion telah dibayar kepada syarikat berkenaan. 

 

Hingga kini BNS gagal menyerahkan LCS tersebut meskipun perjanjian yang dimeterai pada Januari 2014 memperuntukkan LCS pertama diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

 

Tambah Ismail Sabri, berdasarkan penelitian kepada audit forensik berkenaan, skop audit hanya merangkumi aspek pengurusan dan aliran kewangan projek serta aspek proses perolehan peralatan LCS oleh BNS sahaja. 

 

“Aspek pengurusan fizikal projek dan punca-punca sebenar kelewatan tidak termasuk di dalam skop audit forensik berkenaan. 

 

“Mengenai  tempoh tahun pengauditan pula, adalah didapati ianya meliputi antara tahun 2011 hingga 2017 sahaja,” katanya. - DagangNews.com