Hannah Yeoh bersama lebih 1,000 peserta meriahkan Datasonic H2O Run 2024 di Padang Merbok | DagangNews Skip to main content

Hannah Yeoh bersama lebih 1,000 peserta meriahkan Datasonic H2O Run 2024 di Padang Merbok

Datasonic H2O Run 2024 berjaya menarik lebih 1,000 peserta untuk memeriahkan Padang Merbok pada 27 Januari 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Seramai lebih 1,000 peserta telah menghadiri program mega tanggungjawab sosial korporat (CSR) Datasonic H2O Run 2024, sebuah acara istimewa yang mencerminkan semangat komuniti, tanggungjawab sosial, dan kelestarian alam. 

 

Acara larian anjuran Datasonic Group Berhad yang berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur itu disertai oleh kakitangan Datasonic, pelajar dari SMK Seksyen 11, Shah Alam dan orang awam.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin berkata syarikat itu sentiasa di barisan hadapan dalam usaha meningkatkan sumbangan kepada komuniti, kesejahteraan sosial, dan kelestarian alam. 
 

 

Datuk Hanifah Noordin menyampaikan ucapannya di acara Datasonic H2O Run di sini hari ini.
Datuk Hanifah Noordin menyampaikan ucapannya pada acara Datasonic H2O Run 2024 di sini hari ini. [Foto Naim Aziz/ DagangNews]


 

"Buat julung kalinya, Datasonic mengatur program mega CSR yang merangkumi penyertaan dari dalam dan di luar syarikat. Acara ini menampilkan larian 5 kilometer yang memberi peluang unik kepada peserta untuk bersatu dan terlibat dalam aktiviti luar yang sihat. 

 

"Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti mesra keluarga yang lain, termasuklah hadiah-hadiah cabutan bertuah, menjadikan acara ini lebih meriah dan mengujakan," ujar beliau pada acara tersebut di sini hari ini.

 

Turut menghadiri acara tersebut adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Kehadiran beliau menekankan kepentingan inisiatif ini dalam mempromosikan komuniti yang lebih sihat dan bersatu padu.

 

Datasonic, sebagai salah satu peneraju dalam penyediaan solusi ICT berasaskan keselamatan di Malaysia, telah mula meningkatkan komitmen kepada tanggungjawab sosial korporat sejak tahun 2021 selepas berakhirnya wabak COVID-19.

 

 

Hannah (kiri) dan Datuk Hanifah Noordin (tengah) hadir menyerikan acara larian Datasonic H2O Run.
Hannah Yeoh (kiri) dan Datuk Hanifah Noordin (tengah) hadir menyerikan acara larian Datasonic H2O Run.

 

 

Hanifah berkata, syarikat tersebut telah melancarkan pelbagai inisiatif dan program yang memberi tumpuan kepada komuniti pada tahun 2021 dan tahun mula memberikan penekanan kepada kelestarian alam pada tahun lalu.

 

"Dengan program Datasonic H2O Run 2024 hari ini, kami berhasrat untuk menggabungkan semua aspek CSR kami iaitu komuniti, sosial, dan alam sekitar dalam satu program yang bermakna," tambahnya.

 

Sementara itu, Hannah berkata pihak Kementerian Belia dan Sukan amat menggalakkan dan mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan sektor korporat atau mana-mana pihak untuk mengadakan program bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, terutamanya golongan belia yang menjadi tonggak masa depan negara. 

 

"Adalah diharapkan lebih ramai lagi kumpulan sasar akan mendapat manfaat menerusi jalinan kerjasama CSR bersama lain-lain syarikat korporat dan swasta di masa hadapan," tambah Hannah.

 

 

Persatuan pelari anak luar biasa, Little Fighter Runners turut menyertai Datasonic H2O Run 2024.
Persatuan pelari anak luar biasa, Little Fighter Runners turut menyertai Datasonic H2O Run 2024.

 

 

Datasonic membayangkan masa depan yang lebih cerah dan lestari melalui Datasonic H2O Run 2024, yang menandakan permulaan komitmen berterusan untuk mencipta kesan positif dalam masyarakat, memupuk tanggungjawab sosial dan menjaga alam sekitar. 

 

Datasonic berkata, ia akan terus mewujudkan inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan masyarakat dan program ini hanya langkah pertama dalam siri usaha berkesan yang dirancang untuk masa depan.

 

Selain larian, program itu turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan 30 hadiah utama selain lebih 300 hadiah sampingan.

 

Kakitangan Datasonic, Azmierul Hakkem Azmi, 25, menjadi peserta bertuah yang membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah motosikal Modenas Karisma 125.

 

 

Datuk Hanifah Noordin (kanan) menyerahkan replika kunci motosikal Modenas Karisma 125 kepada Azmierul Hakkem Azmi.
Datuk Hanifah Noordin (kanan) menyerahkan replika kunci motosikal Modenas Karisma 125 kepada Azmierul Hakkem Azmi.

 

 

Datasonic H2O Run 2024 turut menyediakan acara sampingan seperti zumba, petting zoo selain trak makanan kepada peserta yang hadir.

 

Program itu menyaksikan Dagangnews menjadi rakan media dan juga penaja acara. - DagangNews.com