Lebih 3,000 pemohon di Karnival Kerjaya Perak Sejahtera disenarai pendek temuduga peringkat seterusnya | DagangNews Skip to main content

Lebih 3,000 pemohon di Karnival Kerjaya Perak Sejahtera disenarai pendek temuduga peringkat seterusnya

Antara pemohon yang hadir mendaftar di Karnival Kerjaya Perak Sejahtera di Ipoh pada 17 dan 18 September 2022. - Gambar Talent Perak
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 20 Sept - Seramai 3,190 pemohon pekerjaan disenarai pendek bagi sesi temuduga seterusnya, susulan pendaftaran mereka di Karnival Kerjaya Perak Sejahtera di Stadium Inderi Mulia pada Sabtu dan Ahad lalu.

 

Sebanyak 256 calon berjaya mendapatkan pekerjaan serta-merta di dalam karnival kerjaya anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di bawah inisiatif Perak Sejahtera 2030.


 

perak talent

 


Pengarah PASAK, Misbahul Munir Masduki berkata, jumlah temuduga dijalankan pula sebanyak 5,485 sesi kerana ada pencari kerja memilih lebih daripada satu syarikat.

 

Katanya, statistik sebenar akan dikemaskini selepas majikan menjalankan sesi temuduga kali kedua kepada calon berjaya disenarai pendek.

 

"Secara umumnya penganjuran Karnival Kerjaya Perak Sejahtera ini telah mencapai matlamat apabila mempertemukan pencari kerja terus dengan bakal majikan.

 

"Sebanyak 58 majikan swasta dan awam termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak mengambil bahagian dalam proses saringan dan temuduga.

 

"Syarikat swasta pula seperti AirAsia Berhad, CRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn. Bhd., PwC Malaysia, Pantai Hospital Ipoh dan Adabi Consumer Industries," ujarnya ketika ditemui.


 

talent
Salah seorang pencari kerja mengikuti sesi tapisan oleh pihak AirAsia.

 


Sebanyak 10,000 peluang kerja ditawarkan semasa karnival kerjaya ini khususnya pada golongan muda dalam usaha memakmurkan negeri dan memajukan rakyat.

 

Pada karnival tersebut juga, kerajaan negeri Perak telah melancarkan Aplikasi Talent Perak iaitu platform pencarian kerja khusus untuk anak-anak Perak.

 

Pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad.


 

talent perak

 

talent perak

 


Menjelaskan lebih lanjut kata Misbahul Munir, menerusi aplikasi ini, pencari kerja tidak perlu lagi mengemukakan resume secara fizikal. 

 

Mereka sebaliknya hanya perlu mengemukakan permohonan pekerjaan melalui Aplikasi Talent Perak secara atas talian yang boleh diakses melalui telefon bimbit. 

 

"Aplikasi ini boleh di muat turun melalui Play Store, App Store dan Huawei AppGallery. 

 

"Ini selari dengan salah satu daripada enam agenda utama Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembuatan Keputusan Berpacukan Data," ujarnya. - DagangNews.com