Lebih 5,300 agensi pelancongan terima 'one off' RM3,000 | DagangNews Skip to main content

Lebih 5,300 agensi pelancongan terima 'one off' RM3,000

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar di negara ini.Perdana Menteri, Tan Sri

 

Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tersebut diberikan sebagai pendorong apabila negara beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

 

"Sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. 

 

"Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar," katanya.

 

.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

 

Pakej berkenaan bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

Pemulih menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

Mengulas berkaitan sektor pelancongan sama, beliau menambah, kerajaan juga bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.

 

"Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan," tambah beliau lagi. - DagangNews.com