Lebih 780,000 menganggur pada Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Lebih 780,000 menganggur pada Januari 2021

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Ekoran pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terus memberi impak negatif kepada sektor pelancongan, menyaksikan kadar pengangguran meningkat pada Januari 2021 kepada 4.9% dengan bilangan penganggur sebanyak 782,500 orang.

 

Jumlah itu meningkat 1.3% atau 9,700 berbanding bulan sebelumnya sebanyak 772,900 orang dengan kadar pengangguran 4.8%. 

 

Dari tahun ke tahun, bilangan penganggur meningkat sebanyak 270,900 orang berbanding 511,700 orang yang direkodkan pada Januari 2020. Begitu juga, kadar pengangguran meningkat 1.7 mata peratus daripada 3.2 peratus. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan. 

 

Ini membabitkan industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi. 

 

"Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus meningkat pada Januari 2021 kepada 158,900 orang berbanding Disember 2020, 146,200 orang selaras dengan pelaksaaan PKP 2.0 pada bulan tersebut. 

 

"Untuk tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu lebih tinggi sebanyak 81.2% berbanding 78,100 orang pada tempoh sebelum krisis.

 

"Golongan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bagaimanapun, pertambahan dalam penduduk bekerja adalah lebih tinggi berbanding peningkatan bilangan yang menganggur; menunjukkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.

 

Tenaga buruh pada Januari naik 0.2% dengan tambahan sebanyak 31,500 orang merekodkan 16.02 juta orang berbanding Disember 2020, sebanyak 15.99 juta orang. Pada bulan tersebut, penyertaan tenaga buruh meningkat pada kadar 68.5% (Disember 2020: 68.4%).

 

Memasuki 2021, pasaran buruh terus berdepan dengan situasi yang mencabar berikutan peningkatan bilangan kes baharu COVID-19. 

 

Susulan itu, PKP telah dilaksanakan mulai 13 Januari lalu di kebanyakan negeri iaitu Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan. 

 

Pada fasa ini, hanya 5 sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi, manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan. 

 

Selain itu, waktu operasi perniagaan adalah terhad meliputi aktiviti restoran, gerai makanan serta penghantaran makanan dengan penguatkuasaan larangan perkhidmatan makan di premis. 

 

Aktiviti perniagaan yang tidak penting ditutup sementara waktu termasuk aktiviti pasar malam dan bazar, outlet pertaruhan, spa dan refleksologi, salon, kedai gunting rambut, dobi layan diri, kedai jahit, outlet pakaian, kedai optik dan cermin mata serta aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi. 

 

Berikutan lonjakan bilangan kes harian COVID-19, PKP 2.0 telah dilanjutkan di kebanyakan negeri sehingga 4 Februari 2021. 

 

Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan momentum pemulihan perniagaan dan seterusnya pasaran buruh. 

 

Selain itu, bencana banjir di negara ini yang berpanjangan sejak Disember 2020 di beberapa negeri termasuk Johor, Kelantan dan Pahang turut memberi kesan kepada beberapa aktiviti perniagaan.   

 

Mohd. Uzir berkata, sehingga 12 Februari 2021, sebanyak RM12.76 bilion telah disalurkan melalui Program Subsidi Upah (PSU 1.0) meliputi 2.64 juta pekerja daripada 322,177 majikan. 

 

Seterusnya, bagi Program Subsidi Upah (PSU) 2.0, sebanyak RM770.31 juta telah diagihkan kepada 65,398 majikan melibatkan 534,183 pekerja bagi menyokong operasi perniagaan dan mengekalkan pekerja. 

 

Di samping itu, melalui Program Insentif Pengambilan dan Bantuan Latihan, seramai 130,871 pekerja telah mendapat pekerjaan melalui program ini. 

 

"Oleh itu, dengan pelbagai pelaksanaan inisiatif kerajaan yang memberi tumpuan kepada setiap lapisan kumpulan sasar, diharapkan agar momentum pasaran buruh akan kembali pulih secara berterusan pada bulan-bulan akan datang meskipun pasaran buruh mengalami perubahan ketara pada tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19," katanya.

 

Menurut beliau, melihat kepada keadaan krisis kesihatan pada awal tahun ini, pasaran buruh dijangka berdepan dengan situasi yang tidak menentu pada suku pertama. 

 

Bagaimanapun, katanya, dengan fasa pertama program vaksinasi yang telah bermula pada 24 Februari hingga April 2021 bagi barisan hadapan, diikuti dengan fasa kedua kepada OKU dan warga emas pada April hingga Ogos 2021, usaha ini dilihat memberi suntikan positif terhadap keadaan krisis kesihatan di Malaysia. 

 

Seterusnya, dengan pelbagai inisiatif di bawah Penjana, Prihatin dan Pakej Bantuan Permai, akan dapat menyokong kelangsungan perniagaan dan kedudukan tenaga buruh yang lebih baik. 

 

"Melalui usaha ini, ketidaktentuan pasaran buruh berkemungkinan dapat diminimumkan dan seterusnya mempercepatkan momentum pemulihan pasaran buruh," katanya. - DagangNews.com