Lebih banyak PPV dibuka bagi mempercepat vaksinasi melalui Pikas | DagangNews Skip to main content

Lebih banyak PPV dibuka bagi mempercepat vaksinasi melalui Pikas

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) mula dibuka hari ini.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, PPV di SCCC itu adalah salah satu daripada 8 PPV Penggunaan Umum di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai 2021.

 

"Terdapat dua jenis PPV di bawah Pikas - PPV Penggunaan Umum dan PPV Di Tapak (On-Site). PPV Penggunaan Umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah PPV di premis kilang," jelas MITI.

 

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini turut meninjau proses vaksinasi di PPV berkenaan bagi memastikan semua persiapan berjalan dengan lancar.

 

.

 

Pikas adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang telah dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan tujuan untuk membantu mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat, dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.

 

Program berkenaan diperkenalkan berikutan cadangan daripada persatuan industri, dewan perdagangan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang ingin mempercepatkan vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor pembuatan agar pekerja kekal berasa selamat di tempat kerja dan terhindar daripada bahaya COVID-19.

 

Setakat 27 Jun 2021, seramai 669,846 orang pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara telah mendaftar di Pikas. 

 

Pikas digerakkan dengan matlamat untuk mempercepatkan vaksinasi sekurang-kurangnya dua juta orang pekerja di dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga tahun 2021.

 

Pemberian vaksin melalui Pikas diberikan secara percuma, majikan bagaimanapun perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan membuat penolakan gaji pekerja. - DagangNews.com