Lebih ramai dijangka meminjam meskipun lockdown | DagangNews Skip to main content

Lebih ramai dijangka meminjam meskipun lockdown

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - CGS-CIMB menyemak semula pertumbuhan pinjaman bagi tahun ini lebih tinggi kepada 2.5% hingga 3.5% di sebalik pelaksanaan semula 'total lockdown' pada suku kedua 2021.

 

Sebelum ini, firma itu mengunjurkan ia akan mencatat pertumbuhan antara 2% hingga 3%. 

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, bagi tempoh 4 bulan tahun ini, jumlah pembiayaan mencatat pertumbuhan yang baik pada 1.2%.

 

"Dalam masa sama, kelulusan bagi pembiayaan kediaman dan kenderaan juga kukuh pada Mac dan April 2021," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pinjaman isirumah meningkat 5.7% pada Mac kepada 6.2% tahun ke tahun pada April dengan kenaikan paling tinggi menerusi segmen pembiayaan kenderaan, yang berkembang 7.1% pada April berbanding 6% bulan sebelumnya.

 

Untuk pembiayaan kediaman pula, ia meningkat kepada 7.4% pada April berbanding 7.1% pada Mac.

 

Winson berkata, di sebalik perintah sekatan yang dilaksanakan ketika ini, pertumbuhan untung bersih bank dijangka terus mencatat pemulihan tahun ini. 

 

"Ini kemungkinan disokong oleh margin untung bersih (NIM) yang berkembang dan kami turut menjangkakan kadar dasar semalaman kekal stabil pada 2021.

 

"Selain itu, peruntukan kerugian pinjaman juga rendah (memandangkan bank-bank telah mengambil kira sebahagian besar peruntukan untuk COVID-19 tahun lalu}," jelasnya.

 

Menurut beliau, nisbah rosot nilai pinjaman kasar (GIL) institusi perbankan meningkat daripada 1.58% setakat akhir Mac 2021 kepada 1.57% pada akhir April 2021 di sebalik impak negatif pandemik COVID-19 dan PKP 2.0.

 

Nisbah itu dikekalkan terutama dengan bantuan bayaran balik bersasar yang ditawarkan oleh bank (sejak Oktober 2020) kepada peminjam yang menghadapi masalah kewangan disebabkan pandemik COVID-19.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat, risiko kredit daripada pandemik ini belum lagi melemah dan akan terus meningkatkan nisbah GIL daripada 1.56% setakat akhir Disember 2020 kepada 2% pada akhir tahun ini," katanya.

 

CGS-CIMB meletakkan penarafan 'overweight' bagi sektor perbankan dengan saham Public Bank, Hong Leong Bank dan Maybank menjadi pilihan. 

 

Kemerosotan ekonomi yang berpanjangan tahun ini akan menjadi risiko penurunan kepada penarafan sektor perbankan. - DagangNews.com