Lebihan bekalan meningkat, Kenanga Research unjur prospek Kossan terus mencabar pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan meningkat, Kenanga Research unjur prospek Kossan terus mencabar pada suku ketiga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kenanga Research menjangkakan persekitaran operasi Kossan Rubber Industries Berhad kekal mencabar pada suku ketiga tahun ini selain akan terus dibelenggu masalah lebihan bekalan yang lebih besar.

 

Firma itu berkata, masalah lebihan bekalan akan bertambah baik secara beransur-ansur berikutan kebanyakan pengeluar lain mula menutup kilang yang terpilih.

 

Berdasarkan anggaran, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan antara 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun dari 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

"Kami percaya keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

 

"Bagaimanapun kami menjangkakan keadaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keputusan separuh pertama 2023 kumpulan itu mencapai 36% daripada ramalan kerugian bersih setahun penuh firma kepada RM76 juta tetapi mengecewakan anggaran keuntungan bersih konsensus setahun penuh sebanyak RM55 juta.

 

Firma itu menganggap keputusan itu dalam unjuran mengenai andaian kelemahan selanjutnya dalam separuh kedua tahun ini kerana sektor itu terus bergelut dengan purata harga jualan yang lemah dan penggunaan kilang yang rendah dan persaingan yang sengit, terutamanya daripada pengeluar China.

 

Firma itu mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan MARGMA.

 

Dari segi penawaran, firma itu memfaktorkan pengurangan 24 bilion keping (pengurangan sebelumnya ialah 21 bilion keping) sarung tangan dalam sistem menjelang akhir FY23.

 

"Keadaam itu akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion keping (bukannya meningkat sebanyak 4% atau 116b seperti yang diramalkan sebelum ini) yang serupa pada 2022.

 

"Lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan loji yang tertekan akan terus melanda industri pada 2023," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham.- DagangNews.com