Lebihan bekalan ruang pejabat dan industri, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana REIT | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan ruang pejabat dan industri, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana REIT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) kesan daripada sentimen pengguna selain lebihan bekalan ruang pejabat serta perindustrian.

 

Katanya, walaupun berlaku bekalan-permintaan tidak seimbang terutama bagi sektor pejabat dan perindustrian, REIT yang memiliki pendedahan khusus dalam segmen runcit di lokasi tumpuan akan terus memperoleh aliran pendapatan sewa yang konsisten.

 

Firma penyelidikan itu berkata, meskipun ekonomi global masih perlahan tetapi mereka percaya bahawa urus niaga runcit fizikal terutama di kawasan tumpuan boleh memanfaatkan REIT komersial.

 

Pertambahan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa dijangka meningkatkan jumlah perbelanjaan.

 

"Pada masa yang sama, pengembalian secara beransur-ansur kepada pengaturan kerja dalam pejabat akan menawarkan sedikit sokongan kepada permintaan pejabat, yang mungkin membawa kepada peningkatan dalam penghunian keseluruhan untuk aset berkenaan.

 

"Sama seperti ruang industri, kami meramalkan pertumbuhan positif disokong permintaan pembuatan antarabangsa selain peningkatan eksport am," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (5% hingga 10% ke atas barangan bernilai melebihi RM10,000) dan kadar SST yang lebih tinggi (8% daripada 6%) yang akan dikenakan pada tahun ini boleh melebarkan lagi jurang untuk berbelanja.

 

Walaupun kepentingan ruang pejabat semakin meningkat, kadar penghunian keseluruhan mungkin kekal sederhana, kerana kemasukan ruang pejabat baharu mungkin mengatasi permintaan yang agak sederhana.

 

"Trend yang sama diperhatikan dalam hartanah perindustrian, kerana banyak pemaju menyertai segmen ini yang boleh mendorong lebihan permintaan," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' dan Pavilion REIT (Outperform; TP: RM1.47) dan Sunway REIT (Outperform; TP: RM1.63) merupakan pilihan utama dalam sektor itu. - DagangNews.com