Lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang siap 87% | DagangNews Skip to main content

Lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang siap 87%

Lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Projek pembinaan Lebuhraya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berjaya mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87% pada akhir tahun 2020.

 

Kemajuan pembinaan itu disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang siap 100%. 

 

.

 

Pakej CB3 itu merupakan pakej pertama di dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE.

 

Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe berkata, pakej CB3 sepanjang 2.7 km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang.

 

Zarulazam Eusofe
Zarulazam Eusofe

 

"Kerja-kerja pembinaan ini telah mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

 

"Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Datuk Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang.

 

"Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jalan Ampang yang telah dinaik taraf.
Jalan Ampang yang telah dinaik taraf.

 

Pembangunan projek Lebuhraya SUKE tersebut juga bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang dengan menaik taraf Jalan Ampang sedia ada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

 

Dengan penaiktarafan tersebut, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa, lancar dan percuma berbanding hanya dua lorong kini yang telah dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala sebelumnya.

 

Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km bermula 29 Ogos 2016 itu dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30% di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

 

"Bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya SUKE akan mempunyai sambungan terus highway to highway, dengan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS," jelas beliau lagi. - DagangNews.com